SUNGAI PETANI - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi pilihan kepada seluruh kepimpinan dan ahli parti di negeri itu untuk memilih sama ada mahu menggunakan kaedah "2008" atau "2013".
Menteri Pendidikan yang juga merupakan bekas Menteri Besar Kedah itu menegaskan bahawa seluruh warga UMNO perlu bertindak sebagai sebuah pasukan sekiranya mahu kekal sebagai kerajaan negeri berdasarkan pengalaman yang dilalui pada PRU ke-12 dan ke-13 itu.
"Apa yang berlaku pada 2008 selain dari 'tsunami' (politik) yang berlaku, betul tsunami datang kita tak dapat sokongan dari rakan-rakan kita dari kaum Cina dan India, tapi pada tsunami yang datang itu, salah satunya adalah kita 'bunuh membunuh' sesama kita.
"Saya akui, itulah realiti yang berlaku. Kita 'bunuh membunuh' sesama kita. Kita kata 'takpa biar kalah Dewan Undangan (Dun) ini, biar kalah Parlimen ini, tempat lain boleh menang, kita boleh memerintah lagi'..," imbas beliau sejarah kenangan pahit bagi UMNO Kedah.
Kata Mahdzir, beliau hanya mendapat tahu tentang laporan kemungkinan besar kekalahan UMNO di Kedah itu beberapa hari sebelum PRU ke-12 berlangsung dan menjelaskan bahawa antara faktor utama kekalahan UMNO ketika itu adalah tentang unsur sabotaj di dalam parti yang terlalu sukar dikekang lagi.
"Itu tragedi kepada UMNO Kedah," ucap beliau, kesal dengan apa yang berlaku ketika itu ekoran Barisan Nasional (BN) ketika itu hanya kekurangan hanya 500 undi pada 5 Dun yang menyaksikan BN tewas dan hilang majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.
Namun begitu jelas beliau, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang ketika itu merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri telah berjaya menyelesaikan pelbagai masalah dalaman parti itu dan membentuk sebuah pasukan yang benar-benar ikhlas bersatu-padu.
Dengan konsep muafakat yang diterapkan Menteri Besar Kedah itu, akhirnya ia menjadi sebuah formula terbaik yang membuahkan hasil yang manis apabila beliau berjaya membawa kemenangan kepada BN pada PRU ke-13 yang lalu.
"Kemudian, Datuk Seri Ahmad Bashah dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO di zaman kita kalah, beliau telah membawa satu gerakan.. gerakan itu adalah 'asalkan kita menang, tak kira siapa..asalkan kita menang, tak kira siapa'...
"Semua orang bersetuju 'asalkan kita menang, tak kira siapa', maka 2013, alhamdulillah dengan izin Allah SWT, kita menang kerana kita tidak fikir dah siapa yang nak mai pada waktu itu kita pastikan dia menang pada waktu itu," kata beliau.
Mahdzir mengimbas kembali detik kejayaan Ahmad Bashah mengemudi UMNO dan BN untuk kembali menabur bakti sebagai kerajaan di Kedah pada PRU ke-13 yang lalu, meskipun fakta berkenaan sering disangkal mereka yang fanatik terhadap bekas Timbalannya ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Justeru itu, Mahdzir memberi pilihan kepada seluruh warga UMNO di negeri Kedah supaya memilih sama ada sanggup menghadapi kekalahan seperti yang berlaku pada 2008 atau bermuafakat menjadi sebuah pasukan yang mempertahankan penguasaan BN di negeri ini.
Mahdzir berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Konvensyen UMNO Negeri Kedah 2016 semalam yang bertemakan "Muafakat Kedah Menuju PRU14", di Sungai Petani yang turut dihadiri oleh lebih seribu kepimpinan UMNO Bahagian, sayap-sayap parti dan perwakilan UMNO dari seluruh Kedah. - Kedahnews.com