Konvensyen UMNO Kedah: Kenapa Dewan Tak Penuh?


Pada Sabtu lalu, berlangsung Konvensyen UMNO Kedah 2016 di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) di mana ia sepatutnya menghimpunkan semua kepimpinan UMNO dan para perwakilan dari 15 UMNO Bahagian di seluruh negeri Kedah.

Namun begitu, difahamkan beberapa Ketua UMNO Bahagian telah gagal menghadirkan diri. Begitu juga dengan Ketua-Ketua Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian, ada yang ‘ponteng’ dari program berkenaan.

Selain itu, turut difahamkan bahawa setiap UMNO Bahagian sepatutnya diwakili oleh sekurang-kurangnya 100 peserta termasuk para perwakilan dari 15 UMNO Bahagian. Namun begitu, hanya sebahagian sahaja yang datang. Paling ramai yang hadir adalah Wanita UMNO.

Sekiranya dicongak secara mudah, jika setiap UMNO Bahagian mewakilkan seramai 100 orang ke konvensyen berkenaan, maka Dewan MPSP yang mampu memuatkan seramai 1,500 hingga 2,000 orang itu akan dipenuhi oleh 1,500 ahli UMNO.

Lagipun, difahamkan juga bahawa Badan Perhubungan UMNO Negeri mensasarkan seramai 1,500 peserta untuk hadir ke konvensyen tersebut yang membawa agenda penting bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada PRU ke-14 yang dijangka berlangsung dalam tempoh kurang setahun dari sekarang.

Namun yang menghairankan ialah boleh dikatakan hampir separuh dari kerusi yang tersedia di dalam dewan itu kosong tidak terisi. Ketika sesi forum dan perbahasan berlangsung, sebahagian yang hadir lebih gemar berada di luar dewan dan bersembang sesama sendiri, minum kopi.

Menyaksikan suasana tersebut, ramai yang meluahkan rasa kecewa dan bimbang, seolah-olah penganjuran Konvensyen UMNO Kedah kurang mendapat sambutan dari UMNO di Bahagian-Bahagian. Padahal, difahamkan semua surat jemputan sudah dihantar lebih awal.

Dimanakah komitmen UMNO Bahagian dalam usaha memenangi PRU Ke-14 yang dijangka berlaku persaingan yang getir nanti? Kali ini UMNO Kedah bukan sahaja berdepan dengan pembangkang biasa seperti DAP, PKR, PAN dan PAS, malah parti serpihan UMNO sendiri, PPBM turut mengintai peluang untuk menewaskan UMNO dan BN di Kedah.

Apakah UMNO Kedah kini masih lagi terawang-awang menganggap parti itu kini berada di dalam 'zon selesa'? BN hanya menang majoriti mudah pada PRU ke-13 yang lalu, bukannya menang selesa dengan majoriti dua pertiga. Sedarkah mereka?

Tidak salah untuk mensasarkan kemenangan majoriti dua pertiga seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Namun jumlah kehadiran di konvensyen tersebut membayangkan sasaran berkenaan agak sukar dicapai.

Difahamkan bahawa pihak pembangkang, khususnya Pakatan Harapan menaruh keyakinan yang tinggi untuk 'menjajah' Kedah sekali lagi. Meskipun 'menyepak keluar' PAS dari gabungan blok pembangkang tersebut pada PRU ke-14 nanti, PAN dan PPBM kini bersama mereka.

Apatah lagi kekuatan PAS di Kedah sekarang tidak seperti PAS di zaman Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak dulu. Malah beberapa Adun dan Ahli Parlimen PAS di Kedah lebih cenderung kepada PAN dan mungkin akan lompat parti pada PRU ke-14 nanti.

Mereka mungkin hanya menunggu masa tempoh bai’ah mereka tamat saja untuk berbuat demikian dan PAS Kedah harus berhati-hati dengan ‘api dalam sekam’ tersebut. Siapa agaknya yang hadir Bersih 5 meskipun pucuk pimpinan PAS menolak untuk menyertai kekarutan di ibu negara itu?

Tidak mustahil Kedah bakal 'dijajah' Pakatan sekali lagi. Jika sebelum ini Pakatan Rakyat, pada PRU ke-14 nanti Pakatan Harapan tanpa PAS pula yang akan 'beraja' di negeri ini.

Jadi, seluruh ahli UMNO di Kedah harus diberi kata dua. Gendang sudah dipalu Ahmad Bashah dan sekiranya masih ada lagi UMNO Bahagian yang keberatan untuk menyamput paluan 'gendang perang' itu, ingatlah sejarah pahit PRU 2008 mungkin berulang…

Sumber: myKMU.net