Konvokesyen Ke-33 KPTM Lakar Kecemerlangan 2 Anak Melayu

Anugerah Platinum Diploma, Nur Fatin Hanani Nor Azminuddin, HPNG: 3.98
PUTRAJAYA – Majlis Konvokesyen Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kali Ke-33 yang bermula 31 Oktober sehingga 3 November 2016 kali ini menyaksikan seramai 7,357 orang pelajar bergelar graduan dengan menerima Ijazah, Diploma dan Sijil Profesional dalam tempoh yang ditetapkan dalam bidang masing-masing.

Daripada jumlah 7,357 orang graduan, seramai 5,695 orang merupakan graduan KPTM dan 1,662 graduan Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) Kuala Lumpur.

Konvokesyen KPTM kali ini juga telah melakar dua sejarah penting apabila kumpulan pertama daripada KPTM Bangi seramai 133 graduan berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan Bachelor of Arts (Honours) in Accounting and Finance.


Program berkenaan adalah sebuah program kolaborasi dengan Dublin Business School (DBS), Ireland.

Sejarah kedua ditempa menerusi salah satu kampus milik KPTM iaitu KPTM Kuala Lumpur yang telah dinaik taraf menjadi Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) Kuala Lumpur yang juga telah berjaya melahirkan seramai 1,662 graduan.

Selain itu, seramai 361 orang graduan telah terpilih untuk menerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar. Bagi Anugerah Platinum Diploma berjaya disandang oleh Nur Fatin Hanani Binti Nor Azminuddin dari jurusan Pengurusan dan Teknologi Pejabat secara kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA dengan HPNG: 3.98.

Manakala Anugerah Platinum Ijazah pula disandang Mohd Firdaus Bin Ab Ghani yang mengambil jurusan BSc. (Hons) in Multimedia Computing in Collaboration with Coventry University, United Kingdom.


Sehingga kini KPTM telah berjaya melahirkan hampir 40,000 graduan.

Kejayaan para graduan KPTM merupakan bukti jelas bahawa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan KPTM tidak pernah meminggirkan tanggungjawabnya dalam membantu anak-anak bangsa. -Agensi