Penduduk bergotong-royong membersihkan longkang. |
BALING - Sisa air kotor bercampur najis yang sering melimpah menyebabkan rumah penduduk Kampung Belakang, Pekan Pulai kotor setiap kali hujan lebat.
Pengerusi Pakatan Penduduk Pekan Pulai, Mohd Khairi Mohd Yusof berkata, limpahan air kotor itu berpunca dari longkang yang tidak diselenggarakan di kawasan rumah kedai berhampiran menyebabkan aliran air terganggu akibat timbunan sampah yang dibawa arus banjir.
“Longkang ini perlu diselenggarakan dan ditinggikan strukturnya supaya sampah tidak masuk,” katanya di sini, semalam.
Dakwanya lagi, selepas Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13), tiada sebarang program pembersihan longkang dibuat agensi berkaitan.
“Dahulu pihak berkenaan buat program bersih longkang di Pekan Pulai, selepas itu tiada program atau bantuan untuk naik taraf atau selenggara longkang,” katanya.
Mohd Khairi berkata, penduduk terpaksa mengambil alternatif membersihkan sendiri longkang yang tersumbat.
Menurutnya, situasi bertambah buruk apabila kanak-kanak sering mengadu menjadi mangsa gigitan nyamuk.
“Kami bimbang jika berlaku wabak denggi yang dibawa oleh nyamuk aedes, sebelum ini pun pernah berlaku kes seumpama itu,” katanya.
Penduduk, Omar Yacoob, berkata, bahagian bilik air hingga ruang tamu rumahnya dipenuhi air kotor setiap kali hujan lebat.
Menurutnya, air itu memasuki rumah melalui saluran paip buangan rumahnya.
“Dah lebih tiga tahun saya hadapi masalah ini, airnya berwarna hitam malah bercampur najis,” katanya.
Manakala, Azmi Mat Isa berkata, pihak bertanggungjawab perlu segera mengatasi masalah tersebut.
“Kita mohon pihak terlibat membuat tindakan segera,” katanya.
Dalam pada itu, wakil E-idaman turut mengadakan tinjauan di lokasi terbabit, namun media dimaklumkan, longkang tersebut bukan bawah seliaan E-idaman.
Sementara itu, Adun Bayu, Datuk Azmi Che Husain ketika dihubungi berkata, dua pelan digariskan bagi membantu penduduk.
“Penghulu akan diarahkan meninjau dan mengenal pasti punca limpahan air kotor serta mencari punca kepada masalah ini selain mengenal pasti jabatan bertanggungjawab.
"Kita akan minta jabatan terbabit selesaikan masalah ini segera,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan sebagai pelan tindakan kedua.
“Jika memadai dengan bergotong-royong, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan atur program melibatkan penduduk dan agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Kos pembersihan akan ditanggung Pejabat Dun Bayu,” katanya.
Sumber: Sinar Harian