KUIN Mengorak Langkah Ke Arah Universiti Penuh 2017


ALOR SETAR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah menyatakan komitmen penuh dan memohon untuk menaiktaraf Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sebagai sebuah universiti penuh bermula tahun depan, 2017.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sudah memberi perkenan dan mandat baginda untuk menaiktaraf KUIN yang merupakan sebuah universiti milik penuh kerajaan negeri itu.

"Komitmen ini adalah selari dengan iltizam kerajaan negeri untuk melihat Islam dan tradisi keilmuan dimartabatkan di negeri ini.

"Ia adalah sejajar dengan hasrat dan titah Sultan Kedah pada konvokesyen KUIN ke-18 Sept lalu," jelas Ahmad Bashah yang melancarkan misi menaiktaraf universiti berkenaan dan memperkenal hashtag #UniversitiPenuh2017 untuk tujuan tersebut.

Mengulas lanjut, Menteri Besar itu turut menjelaskan bahawa KUIN sudah memenuhi semua syarat dan keperluan yang ditetapkan untuk dijadikan universiti penuh termasuk melibatkan modal berbayar, jumlah tenaga pengajar, jumlah pelajar dan sebagainya.

"KUIN sudah pun memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti jumlah tenaga pengajar, jumlah pelajar luar negara dan modal berbayar," kata beliau dalam satu sidang akhbar yang diadakan selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah di Wisma Darul Aman, petang semalam.

Ahmad Bashah dalam kenyataannya turut berharap agar misi Kerajaan Negeri itu disokong penuh rakyat Kedah demi memastikan kesinambungan penghasilan tokoh-tokoh ilmuan yang bakal menabur bakti di negeri Jelapang Padi itu.

Cetusan idea menubuhkan KUIN bermula pada 1993 oleh bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Mohd Akil dan Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri (YIK), Sukri Hashim, yang kemudian dilulus serta direalisasikan oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Osman Arof.

KUIN yang kemudiannya ditubuhkan pada 15 Mei 2006 bertempat di kampus sementara di Mergong, Alor Setar sebelum bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak mengambil inisiatif membina kampus tetapnya di Kuala Ketil.

Walau bagaimanapun, selepas Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengambil alih jawatan Menteri Besar, KUIN hampir diswastakan kepada beberapa pihak yang berminat termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Aimst dan Universiti Antarabangsa Al-Bukhary (AiU).

"Rundingan masih berjalan. Penjualan ini didakwa ada kaitan dengan beban kewangan negeri berhubung pinjaman RM330 juta dengan Bank Islam bagi menampung kos pembinaan kampus induk Insaniah di Kuala Ketil," kata sumber berkenaan, memetik laporan Sinar Harian pada 2013.

Namun begitu, pada konvokesyen ke-16 KUIN, Mukhriz memberi jaminan untuk untuk terus memberi komitmen yang tinggi dan perhatian serius dalam memperkasakan kolej universiti itu dengan memperuntukkan sebanyak RM66 juta bagi perbelanjaan pembangunan dan pengurusan.

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga merupakan Canselor KUIN dalam titah baginda pada konvokesyen ke-18 baru-baru ini melahirkan harapan baginda untuk menaiktaraf kolej universiti itu kepada universiti penuh.

Titah baginda disambut baik oleh Ahmad Bashah yang menyatakan komitmen beliau untuk menjadikan KUIN bertaraf universiti penuh pada 2017 ini. -Kedahnews.com