Lagi Individu "Belanja" Petrol Percuma Untuk Penunggan Motorsikal


KUANTAN – Kalangan penunggang motosikal tidak melepaskan peluang mendapatkan petrol percuma di Stesen Minyak Caltex, Gebeng di sini, sumbangan seorang ahli perniagaan.

Petrol percuma untuk motosikal itu adalah dari 12 tengah hari hingga 2 petang dan 4 petang hingga 6 petang hari ini.

Pekerja kilang Mohd Zain Zamil ‘mengorbankan’ masa rehatnya hari ini untuk beratur mendapatkan petrol percuma itu dan menurutnya dia berulang-alik hampir 60 kilometer dari rumahnya di Bandar Chendor Baru ke Gebeng untuk bekerja.

“Setiap hari saya mengisi minyak di sini, dan semalam ternampak notis di pam minyak dan kaunter bayaran (mengenai minyak percuma). Saya fikir tidak mengapa untuk keluar isi minyak semasa waktu makan hari ini,” katanya semasa ditemui Bernama di stesen minyak itu.

Mohd Zain yang menyifatkan pemberian itu sebagai ‘rezeki terpijak’ berterima kasih kepada ‘pemberi misteri’ itu dan mendoakan beliau dimurahkan rezeki untuk terus berkongsi rezeki dengan individu lain.

Pelajar Wan Mohd Aiman Wan Zakaria, 16, pula tidak menyangka pemberitahuan minyak percuma di laman sosial Facebook itu adalah benar dan mula berasa teruja sebaik sahaja melihat ramai penunggang motosikal beratur di stesen minyak tersebut.

“Sebelum ini saya ada baca tentang minyak percuma di Kedah dan tak sangka akan lalui pengalaman serupa di sini. Semasa keluar rumah, saya cakap mahu cuba nasib sahaja supaya tidak kecewa jika berita (minyak percuma) itu palsu,” katanya.

Wan Mohd Aiman berkata dia menunggang motosikal ke sekolah setiap hari dan minyak percuma yang diisi hari ini boleh bertahan selama empat hari.

Pengawal keselamatan Muhammad Arif Abbas, 52, menjadi orang pertama yang mengisi minyak percuma itu memandangkan dia mula beratur di pam minyak terbabit 30 minit sebelum masa pemberian minyak percuma bermula 12 tengah hari.

Dia yang tinggal di Balok Makmur di sini mengetahui mengenai minyak percuma itu daripada adik iparnya yang membaca notis di stesen minyak berkenaan semalam.

Sementara itu, pekerja stesen minyak itu Aishah Mohd Basha, 26, berkata minyak terbabit sumbangan ahli perniagaan lelaki berusia 45 tahun yang enggan dikenali, yang merupakan rakan kepada pemilik stesen minyak itu.

Katanya, notis pemberitahuan minyak percuma pada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang dan 4 petang hingga 6 petang hari ini, ditampal sekitar stesen minyak selain diuar-uarkannya di laman sosial Facebook dan WhatsApp.

“Tiada had ditetapkan dan pengguna boleh mengisi sehingga tangki motosikal penuh di dua pam yang ditetapkan. Bagaimanapun, ia hanya untuk penunggang motosikal dan mereka tidak dibenarkan mengisi minyak ke dalam tong,” katanya.

Aishah menambah perkara itu merupakan pengalaman baharu untuknya yang telah enam tahun bekerja di stesen minyak berkenaan dan menyifatkannya sebagai cara menderma ‘di luar kotak’.

“Ramai yang sukar untuk percaya. Saya sendiri beberapa kali menjawab komen daripada orang ramai yang bimbang jika notis itu ditampal oleh mereka yang mahu bergurau,” katanya. – BERNAMA