Seorang lelaki yang menukar jantina, telah dipukul hingga mati hanya selepas beberapa jam melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Victor di Rusia.
Tindakan Adam Aliev, 25, yang menjalani pembedahan menukar jantina dan menukar nama kepada Raina, telah mengejutkan keluarganya hinggakan bapanya dilaporkan mengalami serangan angin ahmar manakala ibunya pula tidak berhenti menangis sejak mengetahui anak mereka menjadi perempuan.
Bapa transgender berkenaan, Alimshaikh Aliev sejurus mendapat tahu anaknya bertukar jantina berkeras mahu anaknya itu dibawa pulang dan dibunuh di depannya.
"Saya mahu dia dibunuh. Saya tak mahu tengok lagi mukanya. Bawa dia ke sini dan bunuh dia depan mata saya sendiri," tegas bapanya, marah dengan tindakan dosa besar anak lelakinya itu.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan di mana lokasi sebenar transgender itu dibunuh, namun dia berkemungkinan besar dibunuh di depan bapanya sendiri.
Adam beragama Islam dan telah menanam implan payudara serta membuang alat sulit lelaki dalam pembedahan yang mengejutkan ramai itu, yang dilakukan bulan lepas.
"Dia menipu saya, dia ke Moscow, menjalani pembedahan dan bertukar daripada lelaki menjadi perempuan.
"Dan di Chechnya perkara ini telah diketahui. Saya tidak mahu berjumpa dengannya. Saya melahirkan anak lelaki. Ia memalukan keluarga," kata ibunya yang dilaporkan tidak lagi bercakap dengan jiran tetangga kerana terlalu malu.
Memetik laporan Mail Online, keluarga Adam menetap di Dagestan dan dia dilaporkan sengaja menukar jantina kerana mahu mengahwini lelaki pujaannya.
Sementara itu, Mufti Dagestan yang dipetik akhbar KP berkata, menukar jantina adalah sama sekali dilarang oleh Islam ekoran ia menyalahi hukum ciptaan Allah kerana membenarkan seorang yang diciptakan sebagai lelaki bertukar menjadi wanita.
"Pembedahan itu hanya boleh dilakukan dalam satu kes sahaja iaitu apabila seseorang itu dilahirkan sebagai hermaphrodite, iaitu memiliki dua jenis alat kelamin dan individu terbabit perlu memilih jantina tertentu," katanya.
Sementara itu, timbalan ketua kampung ,Abdutagur Israpilov berkata, Adam memang kelihatan feminin malah suaranya juga seperti budak perempuan.
Adam katanya, telah berhijrah ke Makhachkala sebelum ke Moscow, untuk bekerja di kelab malam.
“Saya tidak salahkan diri (tukar jantina). Saya dengar Adam telah menukar jantina dan berkahwin dengan lelaki dari Kabardino-Balkariya.
“Dia menerima ancaman dan telah melaporkan kepada polis. Boleh dikatakan setiap lelaki di Caucasus ingin membunuhnya. Mengikut tradisi kami, ia memalukan keluarga dan seluruh Caucasus,’’ katanya. –Kedahnews.com