PETALING JAYA – Pelakon Lufya Omar memberitahu pembatalan sidang medianya bagi mengumumkan perkahwinan dia dengan seorang doktor iaitu Che Muhammad Hafiz Oktober lalu bukan kerana hajat untuk berumah tangga berhadapan masalah.
Sebaliknya, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar 31, berkata, dia kini sedang sibuk membuat persiapan menjelang hari bahagia yang bakal berlangsung pada November ini.
“Saya mohon maaf terpaksa batalkan sidang media tersebut kerana masalah dalaman antara lokasi penaja dengan pihak kami. Namun, majlis perkahwinan akan tetap diteruskan dan persiapan perkahwinan dilakukan secara sederhana sahaja.
“Apa yang penting ialah perkahwinan itu dirahmati Allah dan kehidupan selepas berkahwin perlu dirancang dengan baik dari sekarang,” ujarnya.
Lufya mengulas tentang perkembangan majlis perkahwinannya setelah majlis sidang media yang sepatutnya diadakan pada 10 Oktober lalu dibatalkan.
Penyanyi dan pelakon itu mengikat tali pertunangan dengan pilihan hatinya Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada Ramadan lalu.
Sementara itu, Lufya berkata, tarikh sebenar untuk majlis perkahwinan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat berserta kad jemputan yang bakal diedarkan tidak lama lagi.
“Insya-Allah pada November ini dan tarikhnya nanti saya akan beritahu. Kami sudah buat keputusan untuk melangsungkan pernikahan dan resepsi pada hari yang sama,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Lufya berkata, drama lakonannya berjudul Umairah sedang ditayangkan di slot Samarinda TV3.
Drama 15 episod itu turut dibintangi oleh Amar Ashraf dan Shah Iskandar.
Sumber: mStar