Muriati sedang membaca akhbar mengenai kejadian yang dialaminya semalam dan menjadi bualan rakyat Malaysia. |
Muriati Koromoh, 60 adalah seorang tukang urut atau lebih mesra dipanggil 'Mama' tinggal di Taman Tiram berkata ketika kejadian itu dia dalam perjalanan ke rumah adiknya di Bukit Mertajam untuk makan tengahari bersama pada hari kejadian.
"Hari itu adik ada telefon mengajak saya makan nasi di rumahnya, selepas solat Zohor saya bergegas ke sana menaiki motosikal.
"Setibanya di simpang empat Jalan Lunas-BKE saya meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat masih berwarna hijau,"katanya ketika ditemui di Hospital Kulim.
Katanya, secara tiba-tiba sebuah teksi melintas laluannya dan disebabkan terlalu hampir dia tidak sempat menekan brek.
"Memang masa itu tengah lampu hijau saya bawa motor seperti biasa lah tapi secara tiba-tiba teksi tersebut melintas jalan itu, memang tak sempat nak brek.
"Motosikal terus berlanggar dengan teksi tersebut dan saya terlambung di atas bonet bahagian depan dan sempat melaungkan kalimah ALLAHUAKHBAR.
"Kali kedua saya terlambung jatuh di atas bumbung teksi dalam keadaan mengiring sebelum saya bangun duduk di situ dan membuka topi keledar yang dipakai,"katanya.
Muriati yang tinggal berseorangan itu berkata rasa sakit di bahagian tangan dan kaki mula terasa beberapa minit kemudian akibat kemalangan.
"Pada mulanya saya tak rasa apa-apa selepas itu baru sakit. Pemandu teksi tersebut juga keluar melihat dan meminta saya turun.
"Ada beberapa pengguna jalan raya cuba membantu saya turun dari bumbung dan meminta pemandu tersebut segera menghubungi ambulans,"katanya.
Katanya, kejadian itu adalah satu tragedi mengejutkan dan mungkin kerana amalan membaca ayat suci al-Quran telah menyelamatkan nyawanya.
"Memang setiap kali keluar saja dari rumah saya baca ayat Qursi untuk melindung diri. Mungkin berkat amalan ayat suci al-Quran ALLAH menyelamatkan saya walaupun terlibat kemalangan.
"Walaupun selepas ini aktiviti mengurut tak dapat dijalankan seperti biasa namun saya percaya ALLAH akan beri rezeki cara lain. Saya reda,"katanya.
Sumber: Sinar Harian