Masuk Stadium Percuma Perlawanan Pertama Lang Merah Musim Depan - MB


ALOR SETAR - Sorakan ribuan penyokong Hijau Kuning bergema sejurus selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah mengumumkan habuan tiket masuk percuma bagi menyaksikan perlawanan pertama Liga Super melibatkan pasukan Lang Merah di Stadium Darul Aman musim depan.

Ahmad Bashah yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, hadiah tersebut adalah bagi menghargai segala pengorbanan dan sokongan padu dari para penyokong skuad Lang Merah yang tidak putus-putus memberi sokongan selama ini.

"Janji saya pada penyokong setia hijau kuning, perlawanan pertama (pasukan Kedah) pada musim hadapan bagi Liga Super (di Stadium Darul Aman) kita akan bagi (tiket) percuma.

"Ia adalah untuk menghargai sokongan berterusan yang ditunjukkan oleh penyokong dan peminat bola sepak Kedah," katanya yang mengharapkan para penyokong Kedah terus memberi sokongan dan memupuk semangat kesukanan yang tinggi di masa akan datang.

Ahmad Bashah turut meluahkan rasa takjub beliau terhadap sambutan hangat para penyokong setia Hijau Kuning hari ini yang membanjiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim yang mengiringi perarakan wira-wira Kedah itu hingga ke Stadium Darul Aman.

Selain konvoi motorsikal berkuasa tinggi, perarakan skuad Lang Merah itu turut diiringi kumpulan bermotorsikal, lori-lori berhias, kereta-kereta serta rakyat Kedah yang keluar meraikan pasukan kebanggaan Jelapang Padi itu di kiri dan dan kanan jalan.

"Saya sendiri agak terkejut dengan kehadiran di luar jangkaan, begitu ramai penyokong-penyokong setia Hijau Kuning di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sepanjang kiri kanan jalan dari lapangan terbang hinggalah ke Stadium Darul Aman.

"Di sepanjang jalan ketika perarakan kita lihat ada yang berkereta, kumpulan bermotor dan semua penduduk di kiri kanan jalan keluar melambai-lambai memberi sokongan, meraikan pasukan bola sepak kita yang membawa pulang Piala Malaysia.

Kata beliau, ie merupakan bukti jelas yang menandakan rakyat dan penyokong setia Hijau Kuning itu akan memberi semangat kepada skuad Lang Merah dan KFA untuk mempertahan kejuaran Piala Malaysia yang kini menjadi milik Kedah.

Ahmad Bashah dalam ucapannya di pentas utama di perkarangan stadium petang tadi turut menegaskan janji beliau untuk tidak sesekali mencemarkan Stadium Darul Aman dengan sentimen politik seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Jelas beliau, bidang sukan merupakan medan utama untuk menyemai perpaduan di kalangan rakyat Kedah dengan memperkaya semangat kesukanan yang tinggi dan tidak sepatutnya dicemari budaya negatif yang memecah-belahkan.

Menteri Besar itu turut memuji sikap anak-anak muda di kalangan penyokong setia Hijau Kuning yang mempunyai semangat kesukanan yang tinggi dan memberikan sokongan padu pada skuad kebanggaan negeri tersebut.

Mengulas mengenai persediaan skuad Lang Merah pada musim depan, Presiden KFA itu menjelaskan bahawa pihaknya sudah mula meninjau pemain-pemain yang berpotensi di seluruh negeri Kedah, termasuk di dalam dan luar negara yang mungkin dipertimbang untuk dipilih menjalani ujian bagi menyertai pasukan Kedah.

"Kita sudah mula meninjau... Bukan mudah sebenarnya untuk mempertahankan Piala Malaysia selepas kita menang, jadikita perlu bersedia dari semua aspek," jelasnya dalam sidang media hari ini. - Kedahnews.com