Melayu Berpadu Raih Keyakinan Bukan Melayu - Pemuda UMNO


ALOR SETAR - Bangsa Melayu digesa supaya kembali merapatkan saf membentuk perpaduan yang teguh untuk memenangi hati dan keyakinan dari masyarakat bukan Melayu supaya kembali menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Keyakinan tersebut amat penting bagi memastikan kestabilan politik dapat dicapai di mana ia bakal memakmurkan sektor ekonomi dan seterusnya menjana kemajuan melalui usaha yang gigih dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa berkata, amanat yang disampaikan oleh mantan Menteri Besar, Tan Sri Osman Aroff, ia amat berbekas di hatinya dan ia telah memberi iltizam yang kuat untuk menyeru semua bangsa Melayu supaya kembali bersatu-padu.

"Saya tertarik pada ucapan Tan Sri Osman Aroff apabila beliau memberi penekanan untuk menarik kembali sokongan dari kaum bukan Melayu, kembali menyokong UMNO dan BN.

"Bangsa Melayu itu sendiri perlu menjadi sebuah bangsa yang kuat, iaitu dari sudut perpaduan, Melayu perlu kuat, Melayu bersatu.. barulah kita akan dapat meyakinkan golongan bukan Melayu dan seterusnya membentuk kestabilan politik dan ekonomi.

"Namun malanngnya,  Melayu hari ini tanpa kita sedari sedang bersengketa dan telah berpecah kepada lima, merujuk pada parti-parti serpihan daripada UMNO itu sendiri dan memilih untuk menjadi pembangkang," kata beliau ketika ditemubual Kedahnews.com.

Selain itu, Syed Hafiz berpandangan bahawa fokus utama dalam agenda UMNO dan BN adalah dengan memberi ruang dan peluang kepada golongan generasi Y yang kini masih tercari-cari peluang terbaik mereka di saat berdepan dengan dunia yang semakin mencabar.

Kata beliau, semua pihak sama ada pihak swasta atau jabatan-jabatan, agensi-agensi dan GLC turut perlu memainkan peranan untuk bekerjasama memberi pendedahan dan membuka ruang kepada golongan muda ini dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang lebih banyak.

"Hari ini kita lihat apa yang dibangkitkan oleh perwakilan kita ketengahkan tentang kepentingan ahli-ahli terutama sekali generasi Y..

"Saya berpandangan bahawa golongan muda ini perlu diberi perhatian, diberi lebih pembelaan terutama dari sudut pekerjaan, peluang-peluang untuk mereka membantu kehidupan mereka sendiri.

"Perkara-perkara sebegini perlu diberi perhatian oleh pucuk pimpinan kerana ini adalah suatu perkara asas yang sangat penting.

"Agensi-agensi kerajaan dan GLC-GLC kita perlu juga membuka peluang kepada anak-anak muda ini untuk membantu kehidupan mereka melalui peluang pekerjaan dan seumpamanya bagi memastikan mereka mampu menghadapi dunia kehidupan yang makin mencabar dewasa ini," katanya.

Tegas beliau lagi, Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar sentiasa meletakkan agenda tersebut sebagai fokus utama khususnya di parlimen berkenaan.

"Kita mengambil iktibar dan menjadikan perkara ini sebagai satu topik penting untuk membantu generasi muda khususnya di Parlimen Alor Setar. Kita akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan agenda ini tercapai," tegas Syed Hafiz.

Mengulas mengenai "formula 2013" yang digunakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk mengembalikan penguasaan BN di Kedah, Syed Hafiz yakin ia mampu memberi kemenangan kepada BN sekali lagi pada PRU ke-14 nanti.

Namun begitu katanya, seluruh jentera parti khususnya Pemuda UMNO harus menghayati sedalam-dalamnya konsep berkenaan berteraskan muafakat, ikhlas mengenepikan perbezaan pandangan dan menjiwai keperluan mengutamakan kepentingan parti berbanding peribadi.

"Formula yang digunakan oleh Datuk Seri Ahmad Bashah sehingga membawa kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu diiktiraf sebagai satu formula yang terbaik untuk digunapakai pada PRU ke-14 nanti.

"Sepatutnya kita hayati dan kita ambil perhatian. Dari formula itu kita dapati bahawa kita sepatutnya sanggup mengenepikan sentimen 'favouritisme' pada individu tertentu sebagai calon pilihan, sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan parti.

"Asalkan UMNO itu menang, asalkan BN itu menang.

"Ia sebenarnya seiring dengan konsep muafakat yang diterapkan beliau selepas dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

"Maka kerana itu, kita jangan jadikan pemilihan di peringkat Bahagian itu sebagai satu perkara pokok untuk berjaya dalam parti, sedangkan kita perlu memenangkan parti untuk terus berkhidmat kepada rakyat sebagai sebuah kerajaan yang baik.

"Jika gagal di peringkat negara atau negeri, kejayaan dalam pemilihan parti itu sudah tidak memberi sebarang makna lagi.

"Ini adalah satu pesanan penting yang perlu kita ambil sebagai panduan supaya pemimpin-pemimpin politik yang berada di dalam Bahagian tentang betapa pentingnya kita untuk memenangkan parti dalam pilihan raya," ujar beliau.

UMNO Kedah pada Sabtu lalu menganjurkan Konvensyen UMNO Negeri Kedah 2016 menyaksikan lebih 1,000 kepimpinan UMNO Bahagian, ketua-ketua sayap dan perwakilan dari 15 UMNO Bahagian di Kedah berkampung di sini dengan penuh semangat dan jatidiri parti.

Menuju matlamat mengekalkan kemenangan bergaya dan mensasarkan majoriti dua pertiga Dun Kedah pada PRU ke-14 nanti, percaturan UMNO dilihat sebagai paling stabil berbanding pepecahan dan kontroversi terkini yang terus menghantui di kalangan parti-parti pembangkang di negeri ini. -Kedahnews.com