Menteri Besar Bentang Bajet Kedah 2017 Esok #BajetKedah2017


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dijadualkan bakal membentang Bajet Kedah 2017 di Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) yang bakal bersidang esok di Wisma Darul Aman, di sini.

Sumber rapat Kerajaan Negeri menjelaskan bahawa dijangka Bajet Kedah 2017 yang bakal dibentang esok akan memberi keutamaan kepada bidang pendidikan negeri, teknologi maklumat (ICT) dan sukan.

Selain itu, belanjawan tahun depan itu juga dikatakan akan memberi tumpuan pada pembangungan infrastruktur, sosial, pentadbiran dan sektor pelancongan.

Sumber berkenaan juga menjangkakan Menteri Besar juga akan menyentuh tentang kempen pelancongan, Kedah Discoveries 2016, yang berkemungkinan bakal dilanjutkan setahun lagi pada tahun 2017.

Menggunakan hashtag #BajetKedah2017 dan #KedahCentric, pembentangan Bajet Kedah 2017 juga difahamkan buat pertama kalinya akan disiarkan secara "live streaming" oleh Media KFA selain liputan menyeluruh dari media cetak, elektronik dan portal online, termasuk Kedahnews.com.

Ahmad Bashah ketika mengulas mengenai Bajet Kedah 2017 kelmarin menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri optimis tentang cadangan bagi melaksanakan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

“Dari segi pembangunan lapangan terbang baharu, KXP, walaupun kita berharap supaya dimasukkan dalam Bajet 2017 tetapi tidak dimasukkan, pada saya mungkin ia masih terlalu awal (untuk dilaksanakan).

“Bagaimanapun, kita masih berhubung dengan Kementerian Pengangkutan dan kementerian lain yang berkaitan, bahkan pada dasarnya semua pihak bersetuju supaya lapangan terbang ini diwujudkan di atas tapak yang kita cadangkan kerana ia akan membawa pembangunan kepada bukan sahaja Kedah tetapi juga negeri lain di kawasan utara Semenanjung Malaysia,”katanya. -Kedahnews.com