Misteri Beg Tepi Jalan Lampu Isyarat Taman Selasih Terjawab

Seorang pengguna jalan raya berkongsi di laman Facebook mengenai sebuah beg misteri yang ditinggalkan di lampu isyarat Taman Selasih, Kulim
KULIM - Misteri sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di simpang lampu isyarat Taman Selasih, di sini terungkai apabila seorang pemuda mengambil keputusan memeriksanya.

Beg tersebut dipercayai dijumpai seorang pengguna jalan raya kira-kira jam 11.30 malam kelmarin yang melalui kawasan itu sebelum memuat naik ke dalam sebuah kumpulan di laman sosial Facebook.

Tindakan itu mendapat perhatian ahli kumpulan itu sebelum meminta seseorang yang berada di situ untuk membukanya dikhuatiri mempunyai bayi.

Penjawat awam, Mohd Mahathir Abu Bakar, 35, berkata, dia terus ke tempat kejadian kira-kira jam 12.30 pagi kerana kebetulan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Sri Petaling.

"Setibanya di lampu isyarat, saya meminta seorang pengguna lain untuk membuka beg tersebut tetapi mereka enggan kerana takut.

"Kerana bimbang beg tersebut berisi bayi, saya segera membuka untuk melihat isi kandungannya," katanya.

Menurutnya, dia lega apabila beg tersebut agak ringan dan tiada sebarang bunyi tangisan.

"Dalam beg itu hanya ada baju lusuh. Bukan apa, saya risau dengan keadaan sekarang ini banyak sangat kes pembuangan bayi di merata tempat," katanya.

Katanya, mengikut maklumat orang awam, beg itu dipercayai milik seorang pekerja warga asing yang ditinggalkan di situ.

Sumber: Sinar Harian