Najib Bertemu Tokoh-Tokoh Industri Jepun Di Tokyo


TOKYO – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin pertubuhan dan perniagaan Jepun di sebuah hotel di sini.

Najib yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Jepun atas jemputan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, bertemu wakil-wakil Persatuan Persahabatan Parlimen Jepun-Malaysia (JMPFA).

Pertemuan itu dihadiri Pengerusi JMPFA, Keini Furuya bersama beberapa wakil Parlimen dan Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa.

Najib kemudian menerima kunjungan Pengerusi dan Ketua Pengarah Eksekutif Japan External Trade Organization (JETRO) Hiroyuki Ishige.

Beliau kemudian dijadual menghadiri jamuan tengah hari bersama beberapa pemimpin industri Jepun di hotel yang sama.

Antaranya NEC Corporation, East Japan Railway Company, Sumitomo Corporation, Taisei Corporation, Mitsui Co Ltd, Japan Petroleum Exploration Co (Japex), Tokyo Gas Co Ltd, Mitsubishi Corporation dan IHI Corporation.

Sesudah itu, Najib dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Abe serta mengadakan mesyuarat dua hala di pejabat Perdana Menteri Jepun.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudian dijadual menghadiri jamuan malam bersama Abe dan isteri Akie Abe di kediaman rasmi pemimpin Jepun itu.

Semasa lawatan ini, Perdana Menteri disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Othman Hashim dan Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris.

Turut sama dalam delegasi itu ialah Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Seri Ahmad Puzi Ab. Kahar, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Dzulkifli Mahmud. – BERNAMA