Nenek-Nenek Ini Lacur Diri RM20 Untuk Beli Dadah Di Georgetown

Pelacur veteran ditahan dan dibawa ke IPDTL untuk siasatan lanjut.
GEORGETOWN - Mereka layak digelar nenek namun disebabkan ketagihan dadah, beberapa warga emas sanggup menjual tubuh mereka untuk mendapatkan wang bagi membeli bahan terlarang itu.

Difahamkan, mereka hanya mengenakan bayaran sebanyak RM20 dan tambahan RM5 untuk bayaran sewa bilik hotel demi mendapatkan wang kerana ketagihan dadah jenis heroin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, aktiviti tidak bermoral itu dikesan dilakukan di Jalan Perlis di sini selepas serbuan dibuat sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL)  dua hari lalu.

Menurutnya, serbuan dibuat selepas polis menerima maklumat dan hasil risikan yang dibuat.

"Mereka berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun yang menyediakan perkhidmatan seks demi mendapatkan wang untuk membeli dadah. Mereka didapati menerima sesiapa sahaja pelanggan yang ingin melampiaskan nafsu demi wang kerana ketagihan dadah.

"Pelacur ini menjadikan bilik kecil dalam sebuah premis untuk menjalankan aktiviti mereka. Bilik kecil terbabit hanya dilengkapi tilam berbau hapak serta hancing.

"Pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks mereka perlu membayar wang tambahan sebanyak RM5 untuk harga bilik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mior Faridalathrash berkata, difahamkan, bilik berkenaan disewa mereka dengan harga RM100 sebulan daripada pemilik premis.

"Hasil pengakuan mereka, pelacur-pelacur terbabit mengaku mereka mampu memperoleh RM100 untuk satu malam.

Mereka turut mendakwa kebanyakan pelanggan terdiri daripada lelaki warga asing seperti Nepal dan Bangladesh.

"Operasi dijalankan bermula jam 10 malam hasil maklumat orang ramai dan juga risikan polis. Seramai 27 individu terdiri daripada 10 lelaki dan 17 wanita ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke IPDTL untuk menjalani ujian air kencing.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya akan melakukan operasi secara berterusan bagi membanteras gejala dadah dan pelacuran di bandar ini.

Sumber: Sinar Harian