Orang Kedah Tak Kisah Jika 'Dia' Ditahan Kerana Salah Diri Sendiri


Tradisinya rakyat Kedah amat mementingkan agama Islam dan nilai akhlak yang sangat tinggi. Negeri berkenaan memang terkenal melahirkan ramai ulama-ulama tersohor dan merupakan antara pusat pengajian Islam tradisional nusantara.

Dianggarkan lebih dari 50 pusat pengajian Islam di Kedah, termasuk pondok-pondok agama, maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat di segenap pelosok negeri berkenaan. Rakyat Kedah khususnya pastinya mengakui hakikat tersebut.

Jadi, tidak hairanlah jika rakyat Kedah dilihat meskipun agak kasar dari sudut bicaranya, namun hatinya amat baik, perlakuannya mudah mesra dan disenangi masyarakat di negeri lain. Jika berhijrah pun, sikap murni itu 'melekat' bersama hingga ke akhir hayat.

Selalunya, warga emas di negeri Kedah amat dihormati. Ia adalah disebabkan didikan dan asuhan agama yang diterima dari kecil. Warga emas di Kedah selalunya lebih gemar meluangkan masa di surau atau masjid memperbanyakkan ibadah setelah kuat bekerja di waktu muda mereka.

Namun entah silap di mana, salah seorang warga emas yang berasal dari Kedah agak pelik sedikit tabiatnya. Walau sudah berusia lebih 91 tahun tapi masih lagi sibuk dengan hal keduniaan, seolah-olah menyangka dirinya akan kekal hidup hingga ke usia 1,000 tahun?

Biarpun dinasihatkan oleh anak ulama' terkenal negara supaya lebih mendekatkan diri kepada Islam dengan memperbanyakkan amal soleh melalui ibadah di atas 'tikar sejadah', namun dia lebih suka mengejar duniawi yang memudaratkan.

Lebih malang lagi, dakwah yang berikan itu langsung tidak terkesan di hati insan yang digelar negarawan dan 'pemikir ulung' tersebut. Malah penyokong taksubnya tergamak memaki hamun pihak yang menyarankan perkara murni yang dilihat lebih sesuai untuk warga 'terlalu emas' itu.

Lelaki berusia senja itu menyertai perhimpunan haram berbaju kuning di ibu negara. Walaupun himpunan tersebut dilarang pihak berkuasa dan dianggap haram ekoran gagal memperoleh permit, dia sanggup pulang naik jet dari luar negara untuk memenuhi kehendak politiknya.

Malah semalam, dia menggagahkan diri keluar malam berhimpun di perkarangan Dataran Merdeka hanya kerana seorang wanita yang difahamkan menyokong gejala songsang LGBT. Demi wanita ketua baju kuning yang ditahan atas sebab mengelak keganasan yang mungkin berlaku, warga emas dari Kedah itu sanggup membinasakan diri?

Beberapa tahun sebelum ini, dialah yang mengecam dan mengutuk keras himpunan baju kuning. Tidak cukup bercakap di media, dia tulis pula di blog miliknya. Dia hentam Ambiga dan konco-konco baju kuning habis-habisan mengatakan himpunan itu tidak demokratik.

Apakah warga emas yang lahir di sebuah rumah berhampiran kilang ais ini fikir rakyat Kedah tidak malu dengan perlakuannya? PAS yang menentang UMNO selama ini pun menolak untuk berhimpun bersama puak LGBT, tapi dia yang sudah 'senja' pula terhegeh-hegeh?

Dia sedar bahawa himpunan yang disertainya itu dilarang pihak berkuasa. Beberapa pemimpin yang menganjurkan himpunan haram itu telah ditahan polis. Apakah dia fikir hanya kerana usianya yang sudah tua itu maka dia 'kebal' dari undang-undang negara?

Difahamkan ramai rakyat Kedah yang kesal dengan sikapnya diusia tua. Dulu rakyat Kedah bangga dengan pencapaiannya, tapi kini malu dengan perangai buruknya. Mungkin kini jika dia disumbat dalam lokap pun, rakyat Kedah sudah tidak kisah lagi. Dia yang buat hal, maka tanggunglah sendiri padahnya...

Mungkin ramai rakyat Kedah kini yang berdoa mengharapkan dia kembali ke pangkal jalan. Jika hidayah itu berada di dalam lokap, mungkin dia perlu dihumban ke sana demi kebaikannya. Biarlah kelihatan 'zalim', tapi demi 'selamatkan dia' dari terus hanyut di arus dunia, rakyat Kedah rela..?

Sumber: myKMU.net