Sekumpulan burung merpati terbang dari bumbung bangunan di Lahore menjelang subuh, jauh di atas menara era Mughal bandar itu sebelum hilang dari pandangan.
Walaupun lazimnya dianggap haiwan perosak, burung ini sebenarnya juga juara yang mampu terbang di seluruh Pakistan.
“Ia bagaikan satu hubungan percintaan, kalau dilihat dengan mata kasar memang tiada perbezaan antara semua burung itu.
“Tetapi saya mampu menilai setiap burung hanya dengan melihat mata serta bulunya” kata Akhlaq Khan, penggemar merpati berusia 80-an dan penulis satu-satunya buku mengenai subjek itu di Pakistan.
Peminat merpati secara amnya mengelaskan burung berkenaan berdasarkan keupayaan terbang, berlumba dan rupa.
Ia hobi unik yang menyatukan orang dari latar belakang sosial berbeza - mereka yang pakar selalunya buta huruf, sebaliknya pemilik burung golongan kaya.
Merpati yang hebat mampu mencapai nilai sehingga ratusan dolar, bersamaan dengan beberapa bulan gaji kebanyakan penduduk Pakistan.
Penggemar dan sangkar burung boleh dilihat di atas bumbung bangunan di kawasan lama bandar seluruh Pakistan, malah ada juga merpati dibawa bersama pemiliknya oleh keluarga diraja Arab Saudi untuk menyertai kejohanan di negara itu.
Peraturannya mudah saja. Menjelang subuh, setiap tujuh atau 11 kumpulan merpati dilepaskan dan terbang seharian jauh daripada pandangan sehingga pulang pada waktu petang, dengan masa setiap burung direkod dan purata dikira.
Kumpulan yang menang adalah yang mempunyai purata waktu penerbangan paling lama selepas tujuh atau 11 jam penerbangan yang diadakan setiap dua hari.
Juaranya yang mampu terbang lebih 12 jam tanpa makan atau minum dalam keadaan panas terik dimanjakan dengan rawatan mewah yang selalu dikhaskan untuk manusia.
Pemilik merpati yang dikenali sebagai ‘ustad’ mengurut burung mereka menggunakan tuala lembap dan ramuan khas untuk meningkatkan prestasi.
Pemenang membawa pulang telefon bimbit, motosikal dan juga kereta membuktikan memiliki burung ini sangat menguntungkan. - Agensi