Pakatan Harapan Buta Tuli Kritik Kerajaan - PAS


KUALA LUMPUR – PAS menyifatkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP sebuah gabungan parti pembangkang tegar yang mengkritik kerajaan secara membuta tuli kerana kepentingan politik.

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) dalam satu kenyataan berkata, Pakatan Harapan yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) cuma mementingkan populariti pada mata masyarakat.

“Parti-parti pembangkang menunggu sekian lama untuk diberi peluang menerajui negara sehingga mereka langsung tidak mempunyai pengalaman berada sebagai kerajaan kecuali PAS.

“Mereka menjadi pembangkang tegar yang sering mengkritik secara membuta tuli demi kepentingan politik di samping bersifat populis. Hal yang sedemikian yang menyebabkan pertembungan ‘zero-sum game’,” kata kenyataan itu semalam.

Menurut kenyataan itu, pertembungan `zero-sum game’ itu kemudian mengheret rakyat untuk berpihak hingga wujudnya kumpulan Baju Kuning (BERSIH) dan Baju Merah.

Kata kenyataan itu, kumpulan Baju Kuning majoritinya adalah masyarakat bukan Melayu, manakala kumpulan Baju Merah hampir keseluruhannya masyarakat bumiputera Melayu.

“Hampir-hampir sahaja pertembungan seperti ini boleh dikaitkan dengan ketegangan antara kaum sekiranya tidak dibendung,” kata kenyataan itu. – Kedahnews.com