Pakatan Rakyat 2008 Tidak Beri Untung Pada Kepentingan Islam - PAS


KUALA LUMPUR – PAS tidak akan mengadakan kerjasama politik yang tidak menguntungkan Islam walaupun menyedari ia satu strategi yang penting untuk merampas pemerintahan negara.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mendakwa, PAS sebagai parti Islam mengambil pendirian itu kerana mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan pilihan raya di negara ini.

“Pengalaman PAS bertahaluf siyasi semenjak 1986 telah memperlihatkan satu hasil yang tidak menguntungkan Islam terutama selepas 2008.

“PAS berpandangan bahawa tahaluf siyasi yang hendak dilakukan kali ini mestilah dipimpin oleh Islam.

“Pihak yang menentang Islam atau mengkhianati Islam tidak layak bekerjasama dengan PAS kecuali mereka berubah sikap menerima Islam sebagai pemimpin,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 menyertai Pakatan Rakyat bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

DAP dan PKR bagaimanapun membubarkan Pakatan Rakyat tahun lalu menyingkirkan PAS daripada kerjasama politik.

PAS disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang kerana enggan berkompromi dalam beberapa isu akidah Islam.

DAP dan PKR kemudian menubuhkan Pakatan Harapan yang dianggotai Parti Amanah Negara (PAN) bagi menggantikan PAS sebagai parti Islam.

Bagaimanapun, DAP dan PKR mempergunakan bekas Timbalan Presiden UMNO yang berpaling tadah, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memujuk PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Usaha PKR dan DAP memujuk PAS itu bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang PAN yang baru ditubuhkan tahun lalu.

Sementara itu, Hashim menegaskan PAS telah mempunyai gabungan parti pembangkang baharu iaitu Gagasan Sejahtera yang disertai dua parti lain.

“Mana-mana parti politik yang mahu bekerjasama dengan PAS dengan syarat mereka menerima kerjasama ini dipimpin oleh Islam,” katanya. -Kedahnews.com