PAS Belum Terima PPBM Sebab Ada Hubungan Dengan DAP


KUALA LUMPUR - Pas sedia menerima mana-mana parti baharu sebagai rakan kerjasama untuk mengukuhkan perjuangan politiknya.

Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sebarang kerjasama dengan parti baharu mesti dengan kelulusan mesyuarat Majlis Syura Ulama.

"Sebarang kerjasama tak akan dibuat secara mudah, jadi maknanya kita terbuka menerima parti baru seperti Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dan Parti Warisan.

"Dengan PPBM, memang ada perbincangan bersama mereka, cuma belum dimuktamad kerana PPBM ni ada hubung kait dengan DAP," katanya ketika ditemui di lobi parlimen,semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu sedia membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihanraya Umum 14 (PRU14), dengan syarat parti tersebut memiliki matlamat perjuangan berlandaskan Islam.

"Pertemuan bersama PPBM memang ada, cuma bagaimana hubungan nak diadakan tu kita tengok nanti, belum ada keputusan lagi,"katanya.

Tegas Nik Abduh, DAP dan PAN ialah parti yang khianat kepada Pas.

"Itu kita sebut secara jelas, parti selain daripada itu kita buka," katanya.

Namun begitu, beliau menolak sebarang kerjasama dengan BN.

"BN tu tetap musuh kita, Pas akan berlawan dengan BN.

"Hubungan kita dengan BN adalah kerana mereka mentadbir negara (kerajaan) itu sahaja," katanya.

Katanya, perbincangan dengan BN itu dibolehkan kerana mereka adalah kerajaan.

"Kita setuju dengan BN kepada perkara yang baik untuk rakyat, sebagaimana pendirian Pas untuk tidak keluar dewan ketika pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian