"PAS Tak Harus Letak Syarat,", Tempelak DAP


ALOR SETAR - DAP menempelak PAS supaya tidak mengenakan sebarang syarat kepada parti lain supaya menerima dasar parti Islam itu jika benar-benar mahu bekerjasama sesama parti pembangkang.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, PAS harus mengenepikan retorik politik dan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.

"PAS tidak harus meletakkan syarat memaksa parti lain menerima dasarnya. Yang penting adalah agenda membela rakyat tanpa mengira kaum serta dasar ekonomi yang efektif untuk meringankan beban hidup rakyat.

"Retorik politik harus diketepikan supaya keutamaan diberi kepada kebajikan hidup rakyat," katanya semalam, memetik laporan Sinar Harian.

Tegas Kor Ming lagi, PAS juga perlu berhenti dari menjaja omongan kosong kepada rakyat, sebaliknya segera mengadakan rundingan dengan para pemimpin Pakatan Harapan secepat mungkin jika parti itu benar-benar ikhlas mahu bekerjasama.

"Cakap kosong tak bererti, dalam hal ini jika Pas ikhlas, mesyuarat rundingan bersama Pakatan Harapan perlu diadakan dalam tempoh terdekat," tegas Kor Ming.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam menyatakan kesediaan PAS untuk berunding dengan Pakatan Harapan khususnya berkenaan cadangan "satu lawan satu" dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 nanti.

Namun begitu, Abdul Hadi menegaskan bahawa kesediaan PAS itu bersyarat asalkan parti-parti gabungan pembangkang itu tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman PAS seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

"Cuma apabila masuk, jangan buat kacau dalam rumah kami," tegas Presiden PAS itu, semalam.

Murysidul Am PAS, TG Ustaz Hashim Jasin pula dalam kenyataan beliau sebelum itu menetapkan syarat ketat kepada mana-mana parti, termasuk DAP, untuk bersatu berdasarkan Al-Quran.

"Mari kita bersatu berdasarkan al-Quran. Bukan saya tak buka peluang, saya buka kepada DAP pun boleh bersama kita. Pengalaman memaksa kita meletakkan syarat dan ini mesti kita lakukan.

"Tetapi kalau dah tak boleh jadi satu lawan satu, kita terpaksa empat lawan satu," katanya. -Kedahnews.com