PAS Tetapkan Syarat Jika Mahu Kerjasama


KUALA LUMPUR – PAS menetapkan syarat parti pembangkang yang mahu bersatu dengan PAS bagi memastikan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mesti berpegang kepada al-Quran.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, PAS bersedia membuka kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk DAP tetapi menetapkan syarat perlu bersatu atas dasar agama Islam untuk mengelakkan sejarah buruk Pakatan Rakyat berulang.

“Mari kita bersatu berdasarkan al-Quran. Bukan saya tak buka peluang, saya buka kepada DAP pun boleh bersama kita. Pengalaman memaksa kita meletakkan syarat dan ini mesti kita lakukan.

“Tetapi kalau dah tak boleh jadi satu lawan satu, kita terpaksa empat lawan satu,” katanya ketika ditemui pada majlis minum petang bersama Mursyidul Am di Kedah baru-baru ini.

Pakatan Harapan sedang bersungguh-sungguh memujuk PAS kembali menjalin kerjasama selepas bertindak menyingkirkan parti itu daripada gabungan parti pembangkang sebelum ini.

Ia ekoran Pakatan Harapan berasa bimbang akan kehilangan sokongan ahli PAS yang majoritinya kaum Melayu dalam PRU14.

PAS disingkirkan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada gabungan parti pembangkang pada tahun lalu kerana enggan berkompromi dalam beberapa isu akidah.

DAP dan PKR beranggapan isu tersebut boleh menjejaskan sokongan bukan Islam ke atas parti pembangkang. – Kedahnews.com