ALOR SETAR - UMNO Kedah disarankan supaya berkata benar berdasarkan realiti sebenar tentang kedudukan parti dan menghindarkan diri dari hanya mengeluarkan kata-kata indah yang bersifat "syok sendiri" pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 nanti.
Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Tajudin Abdullah berkata, bersikap "syok sendiri" akan menyebabkan kepimpinan dan ahli parti alpa pada hakikat sebenar dengan cerita-cerita yang menyedapkan halwa telinga sahaja.
"Pada Perhimpunan Agung UMNO kali ni, kita kena cakap benda yang benar. Kita kena berani cakap. Kalau benda tu hitam, kita kena cakap hitam. Kalau benda tu putih, kita kena cakap putih. Kita kena cakap berdasarkan hakikat sebenar.
"Kalau tak sampai lagi tahap yang kita mahu, kita kena usahakan cara untuk capai matlamat kita tu.
"Kita jangan syok sendiri. Kalau kita syok sendiri, itulah yang akan menyebabkan kita 'ralit' (leka).. 'ralit' orang Kedah kata.. Dok ralit.. Kita kena buat persediaan lebih awal," katanya dalam satu temubual eksklusif di pejabat Exco Kerajaan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Tegas beliau, berdasarkan konsep muafakat dan ketetapan yang dipersetujui pada Konvensyen UMNO Kedah yang berlangsung pada Sabtu lalu, UMNO Kedah perlu menjiwai setiap 5 perkara yang diputuskan dan bukan hanya melafaz sekadar di bibir sahaja.
Jelas beliau, barisan kepimpinan UMNO Negeri dan akar umbi harus senada dalam memahami perjuangan asal parti yang mementingkan kebersamaan dalam hubungan di dalam pertubuhan berlandaskan perpaduan dan solidariti tidak berbelah bagi kepada UMNO.
Katanya, formula berkenaan adalah faktor penting bagi UMNO Kedah untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti, sekaligus mempertahankan kejayaan yang dicapai pada PRU ke-13 yang lalu.
"UMNO ni kena duduk balik, kena perbaiki terutama sekali hubungan antara kita dan menyedarkan tentang pentingnya perpaduan di kalangan kita.
"Kalau ada di kalangan kepimpinan UMNO sama ada di atas atau di bawah masih tidak ada solidariti, bermakna untuk menghadapi pilihan raya kali ini agak sukar. Ini formula yang paling penting sekali.
"Kita dah menang pada PRU yang lepas, maka kita perlu mengekalkan kemenangan ini. Bukan mudah nak mengekalkan kemenangan ini. Untuk parlimen kita nak kekalkan yang kita menang, dan nak tambah lagi (kemenangan) kali ni. Dua-dualah kita nak tambah, Dun dan juga kerusi Parlimen." ulas beliau.
Selain itu katanya, UMNO Kedah juga harus duduk bersama memikirkan pendekatan terbaik untuk terus memenangi hati rakyat, bersesuaian dengan tradisi Kerajaan BN yang sekian lama menabur bakti kepada masyarakat di negeri ini.
Ekoran pepecahan bangsa Melayu yang kini terpecah kepada lima parti, UMNO Kedah perlu membuktikan parti itu terus relevan untuk terus diberi mandat oleh rakyat sebagai kerajaan negeri pada PRU kali ini.
Beliau meluahkan keyakinan bahawa dengan gerak kerja yang disusun secara teratur, ikhlas dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat, penyusunan strategi yang bijak dan usaha yang berlipat ganda, rakyat akan terus yakin kepada UMNO untuk mengemudi negeri Kedah.
"Memanglah kita cakap nak dua pertiga, tapi gerak kerja akan menentukan bagaimana untuk mencapai dua pertiga majoriti. War room kita mesti kena bergerak sentiasa. Perkara ni kita mesti kena terima hakikat.
"Pada hari ini pun dah macam-macam. Kita bangsa Melayu pun dah berpecah sampai lima parti. Terbaru kita ada pula parti baru, bunga raya. Dia bukan tarik ahli pembangkang, dia tarik ahli UMNO. Yang ni pun kita kena ambil kira semua," katanya.
Tajuddin turut mengingatkan supaya jentera UMNO di peringkat negeri, bahagian, cawangan dan setiap ahli parti untuk sama-sama bersatu-padu mengembeling keringat untuk memastikan matlamat parti membantu rakyat tercapai.
Jelas beliau, hanya dengan membuktikan bahawa UMNO terus konsisten meneruskan tradisi membela rakyat, maka barulah rakyat akan membalas segala pengorbanan UMNO yang bekal diterjemahkan dalam bentuk undi.
"Kita jangan berpuas hati, kita kena buat kajian yang menyeluruh, dari sudut jangkaan bilangan undi yang sebenar. Yang tak bagi (undi) tu, maka tak bagilah. Bermakna kita kena 'head count' satu persatu.
"Kalau belum capai lagi bermakna kita kena bergerak lebih agresif, terutama sekali golongan muda. Pemuda atau belia kita kena buat satu pendekatan yang luar biasa.
"Kita Barisan Nasional ni, rekod kita memang terbukti baik. Tapi untuk mengekalkan, nak mempertahankan kemenangan tu perlukan komitmen dari semua," katanya lagi.
Exco Kerajaan Negeri Kedah itu juga mengharapkan hubungan baik yang terjalin dengan UMNO Pusat bakal membantu UMNO Kedah merubah landskap sosio-ekonomi masyarakat di negeri ini, khususnya di kalangan rakyat yang masih dibelenggu kemiskinan di luar bandar.
Ujar beliau, tumpuan juga harus diberikan kepada golongan muda yang dilihat amat memerlukan perhatian khusus, terutama dari sudut menyediakan mereka sebagai modal insan yang berkualiti dan mampu mengharungi cabaran di zaman serba mencabar ini.
"Hubungan kita dengan UMNO Pusat memang terjalin dengan baik. Tapi bagaimana kita hendak membawa Kedah. Tradisinya kita terkenal sebagai pembela rakyat. Itu memang benar.
"Tapi hari ini kita kena lebih fokus terutama sekali golongan luar bandar di mana masih ramai lagi yang dibelenggu kemiskinan. Kita perlu fikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah mereka, dengan kos sara hidup yang meningkat sedikit. Kita kena selesaikan masalah rakyat.
"Golongan muda ni, kita kena fokus. Ke mana arah selepas mereka tamat sekolah? Kalau kita tak beri panduan, tak bersama mereka, macam mana mereka nak sokong kita?
"Kita mesti ada satu pendekatan. Bukan hanya buat program, lepas tu kita tinggalkan begitu saja. Tak boleh begitu. Kita perlu ada pendekatan secara berterusan, perlu buat 'follow up', di mana mereka, apa keperluan mereka, itulah yang paling penting sebenarnya," jelas beliau lagi.
Tajudin menjelaskan bahawa para perwakilan UMNO Kedah dijangka akan membentangkan usul fokus membabitkan bidang pendidikan, agama dan ekonomi selain membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak nanti.
Perhimpunan Agung UMNO 2016 akan berlangsung pada 29 November sehingga 3 Disember ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula dengan program taklimat Presiden parti dan disusuli dengan majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO Pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu pada sebelah malam. - Kedahnews.com