#PAU2016: Puteri UMNO Kedah Setia, Takkan Khianati Parti


ALOR SETAR - Pergerakan Puteri UMNO Kedah memberikan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada perjuangan parti dan ketaatan sepenuhnya kepada kepimpinan UMNO yang diterajui Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Ketua Puteri UMNO Negeri, Datin Norhashimah Md Nowar menegaskan, ahli-ahli Puteri di Kedah memberikan 100 peratus solidariti kepada parti dan tidak akan sesekali menderhaka mengkhianati parti keramat bangsa itu.

"Kami di sini sebulat suara beri kesetiaan tidak berbelah bagi kepada UMNO, solidariti 100 peratus kepada parti.

"Jiwa Puteri kepada UMNO memang kental, kami tidak akan khianat kepada parti," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra bermula esok hingga 3 November ini.

Mengulas mengenai ancaman dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dikatakan aktif "mencuri" ahli UMNO di negeri tersebut, Norhashimah menjelaskan ia hanya melibatkan kes-kes terpencil yang terlalu sedikit bilangannya dan tidak menjejaskan parti.

"Hingga kini belum ada lagi ahli Puteri yang keluar parti dan sertai PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

"Kalau ada pun hanya satu dua kes terpencil, macam yang ikut kemahuan suami pun kita tak boleh nak kata apalah tentang tu," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai gerak kerja Puteri UMNO Negeri yang kembali bergerak aktif setelah dikatakan "tidur lena" ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir memimpin UMNO Kedah sebelum ini.

"Selepas Datuk Seri Ahmad Bashah ambil alih kepimpinan UMNO Negeri, kita dah mula buat pelbagai program dan bergerak mengikut perancangan yang mantap.

"Kita belajar ketika waktu kalah dulu, sekarang kita bergerak aktif dalam kelompok kecil mendekati pengundi-pengundi muda khususnya yang duduk atas pagar, kita jelaskan tentang perjuangan UMNO yang sebenar dan kita ajak mereka bersama kita," jelasnya.

Mengulas lanjut, Ketua Puteri UMNO Bahagian Sik itu menjelaskan bahawa jentera Puteri Negeri bekerjasama penuh dengan Puteri UMNO di peringkat pusat, khususnya berhubung sistem ICT menjelang PRU ke-14.

"Dari sudut jentera, Puteri semua dah sedia dengan jentera ICT kita di setiap PDM (Pusat Daerah Mengundi) di semua Bahagian.

"Kita sedang tunggu arahan dari Puteri UMNO Malaysia untuk latihan sistem yang akan diguna pada PRU ke-14 nanti," ujar beliau. -Kedahnews.com