#PAU2016: Setia Bukan Hanya Dibibir - Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan kesetiaannya kepada kepimpinan presiden dan parti bukan sekadar janji di bibir.

Malah, timbalan perdana menteri itu berkata tekad beliau adalah untuk terus berdiri di belakang Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk bersama-sama memimpin parti keramat orang Melayu itu bagi memastikan kelangsungan Umno.

"Janji saya bukan janji Niccolo Machiavelli (ahli sejarah Itali) yang berbeza antara lafaz di bibir dengan niat sebenar di hati; tetapi janji saya mengikuti sepenuhnya janji penjunjung ajaran para Rasul dan Anbia," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri bersempena Perhimpunan Agung Umno 2016, di sini malam semalam.

Menzahirkan rasa terima kasih kepada Najib dan seluruh anggota Majlis Tertinggi atas kepercayaan mereka untuk beliau menggalas tugas-tugas timbalan presiden Umno, Ahmad Zahid berkata tanggungjawab itu bukan sebagai 'ghanimah' (kelebihan) untuk kepentingan diri.

"Tetapi ini adalah suatu ujian untuk menilai kesetiaan saya kepada tuan nakhoda bahtera Umno ini. Saya berjanji akan terus berdiri di belakang tuan nakhoda untuk memudik pelayaran bahtera ini menerjah samudera ke sebuah pulau kemenangan. Inilah janji Zahid Hamidi," katanya.  

Ahmad Zahid turut menyeru ahli Umno agar terus setia kepada parti dan tidak akan mengkhianati parti serta perjuangannya yang sudah menjadi darah daging dalam diri anggota parti sehingga menjadi sebuah institusi politik penting negara.

"Pemimpin Umno sejak dahulu sehingga sekarang telah membawa negara ke arah yang lebih gemilang dan dihormati di seluruh dunia. Kesungguhan Najib untuk membawa negara ke mercu kecemerlangan dengan pelbagai transformasi untuk kesejahteraan rakyat perlu digalas, disokong dan didukung oleh semua," katanya.

Beliau menyifatkan kesetiaan anggota parti kepada institusi kepresidenan akan membolehkan parti itu ampuh dan mampu menangkis setiap serangan sama ada dari luar atau mengekang pengkhianatan dari dalam.

"Untuk menjadikan Umno kuat selama-lamanya, sifat setia seharusnya menjadi pegangan setiap ahli. Biar apa sekalipun cercaan dan tohmahan dilemparkan kepada presiden parti, ia tidak sedikit pun mampu menggugat rasa setia saya kepada beliau," kata Ahmad Zahid. - Bernama