Pejabat Agama Sik Tolak Permohonan Pengurusan Darul Quran

Bolia (duduk, tengah) bersama guru dan kakitangan Darul Quran Wa At-Tarbiah Al- Munir.
SIK - Pengurusan Darul Quran Wa At- Tarbiah Al -Munir dari Kampung Namek, di sini kecewa apabila permohonan untuk menjadikan sekolah berkenaan sebagai pusat untuk para pelajarnya menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun hadapan ditolak Pejabat Agama Sik.

Difahamkan Darul Quran beroperasi sejak 2004, namun hanya mula mengambil pelajar Kafa bermula tahun 1 hingga 3 pada 2015.

Pengarahnya, Bolia Jaafar berkata, Darul Quran kini mempunyai seramai 10 calon yang bakal menduduki UPKK tahun hadapan.

Menurutnya, permohonan pada tahun lalu itu ditolak atas alasan banyak sekolah kebangsaan menganjurkan Kafa.

“Bukan sahaja permohonan bagi para pelajar menduduki UPKK di Darul Quran ditolak, malah permohonan kami untuk menumpang pelajar mengambil peperiksaan di sekolah lain tidak diterima," katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata, usaha itu turut dipanjangkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (Jaik) namun usaha itu tidak membuahkan hasil.

Tidak cukup dengan itu katanya, pihaknya turut mendapatkan sokongan daripada Exco berkenan, namun tiada jawapan diterima.

“Bukan orang lain, mereka juga anak-anak orang Islam, sekurang-kurangnya berilah kelonggaran kepada Darul Quran untuk berada dalam arus pendidikan perdana (UPKK),” katanya.

Bolia berkata, kelulusan kepada sekolah itu wajar diberikan memandangkan Darul Quran turut menawarkan sukatan mata pelajaran yang sama dengan sekolah kebangsaan.

“Buku teks dan buku latihan dan buku kerja sama dengan buku digunakan pelajar sekolah kebangsaan.

“Cuma kita ada nilai tambah dalam kokurikulum kita iaitu tahfiz, amali solat dan zikir tahlil,” katanya.

Katanya, implikasi daripada kegagalan Darul Quran menyediakan UPKK, ramai ibu bapa mula hilang keyakinan.

"Separuh daripada waris calon UPKK membatalkan hasrat untuk terus mengekalkan anak mereka meneruskan pengajian.

“Sebelum ini kita ada 20 orang calon UPKK, namun kini tinggal 10 kerana ibu bapa mengambil semula anak-anak untuk ditempatkan di sekolah lain. Waris kepada baki calon yang tinggal amat berharap anak-anak mereka dapat menduduki UPKK tahun hadapan,” katanya.

Tambahnya, dengan masa semakin suntuk, Darul Quran menagih simpati agar diberikan peluang sama rata seperti sekolah lain.

Sumber: Sinar Harian