Pelajar Sekolah Agama Di Ipoh Trauma Dibuli Pelajar Senior


IPOH – Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di sini, trauma untuk ke sekolah selepas dipukul beberapa pelajar senior sehingga patah tulang rusuk pada 16 Nov lalu.

Muhammad Aiman Fahmi Norizzal, 13, berkata dia ditendang, ditampar dan diseret hanya kerana enggan memberikan air kotak miliknya selepas diminta oleh seorang daripada pelajar senior berkenaan.

Beliau berkata kira-kira pukul 1.30 pagi, dia dikejut oleh seorang pelajar senior untuk memintanya pergi ke surau dan apabila tiba di situ dia dipukul sekumpulan pelajar berkenaan.

“Mereka pukul saya seorang demi seorang, selepas setengah jam dipukul baru saya dilepaskan dan mereka mengugut supaya tidak melaporkan perkara itu kepada sesiapa termasuk guru,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Taman Sri Kinta, di sini semalam.

Bagaimanapun, katanya kejadian itu terbongkar selepas dia mengalami sesak nafas dan perlu mendapatkan rawatan lanjut.

Bapa mangsa, Norrizal Ramli, 36, berkata selepas menerima panggilan telefon dari pengawal sekolah yang mengatakan tentang keadaan anaknya, beliau segera menghantar anaknya ke Klinik Kesihatan Greentown.

“Pada mulanya dia hanya memberitahu sesak nafas kerana terjatuh sehinggalah doktor yang memeriksa memberitahu anak saya ini mungkin dipukul kerana terdapat kesan lebam di belakang dan hadapan badannya.

“Selepas membuat ujian X-ray, saya dimaklumkan bahawa tulang rusuk sebelah kirinya patah,” katanya dan menambah laporan polis dibuat di Balai Polis Jelapang pada 18 Nov lalu.

Menurutnya, selepas kejadian itu anaknya mengadu tidak lagi mahu bersekolah di sana atau mana-mana sekolah berasrama kerana enggan dibuli lagi.

Norrizal turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap sambil lewa pihak sekolah menangani perkara itu dan seolah-olah tidak mengambil peduli tentang masalah pelajar di situ.

“Saya diberitahu bahawa kejadian sedemikian sering terjadi di sekolah berkenaan, namun tiada tindakan diambil oleh pihak sekolah untuk membendungnya daripada terus berleluasa.

“Kalau boleh saya nak perkara ni berhenti di sini dan biarlah anak saya menjadi mangsa terakhir, sebab anak saya beritahu ada beberapa lagi pelajar tingkatan satu yang lain turut dibuli,” katanya. – BERNAMA