Pembangunan Di Langkawi Tidak Jejas Alam Sekitar


LANGKAWI – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sentiasa memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan di pulau legenda ini tidak menjejaskan alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Tan Sri Khalid Ramli berkata pihaknya tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang merancang untuk melaksanakan projek pembangunan yang boleh menjejaskan alam sekitar di pulau peranginan ini.

“Pengekalan aset alam semulajadi mesti menjadi asas utama dalam perancangan projek pembangunan memandangkan ia merupakan tarikan utama pelancongan di Langkawi.

“Kami tidak akan berkompromi tentang aspek pemuliharaan (alam semulajadi)", katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Pemuliharaan Geopark anjuran LADA di Taman Lagenda Langkawi.

Menurutnya perancang pembangunan perlu memikirkan kaedah kreatif bagi membolehkan apa yang dirancangkan mereka sesuai dengan matlamat menjadikan Langkawi sebagai destinasi ekopelancongan dan geopark terulung.

Khalid berkata Taman Lagenda Langkawi yang telah wujud sejak dua dekad ini merupakan contoh taman buatan manusia yang dibangunkan secara kreatif dan bersesuaian dengan keadaan semulajadi di pulau ini.

Katanya keadaan di taman berkeluasan kira-kira lapan hektar itu akan terus ditambah baik.

Mengenai penganjuran Hari Pemuliharaan Geopark, katanya ia berjaya meningkatkan kefahaman masyarakat setempat dan pelancong tentang konsep Geopark yang menjadi nadi pertumbuhan pelancongan di Langkawi. – BERNAMA