Pemilik Restoran Di Jitra Gagal Patuhi Notis Dihadap Ke Mahkamah

Haznizam (duduk, dua kiri) berbincang dengan Pendakwa Raya KPDNKK Kedah, Mazlan Ismail (duduk, kiri).
ALOR SETAR - Seorang pemilik restoran di Jitra dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, di sini, kelmarin, atas pertuduhan gagal mematuhi notis diminta di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, pada bulan Mac lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, Hasnizam Hussain, 40, yang juga pengurus restoran didakwa gagal melengkapkan maklumat dan mengemukakan dokumen dalam tempoh tujuh hari di premis restoran beralamat di Taman Mashuri, Jitra.

Dia didakwa gagal berbuat demikian seperti yang diarahkan Penolong Pengawal Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sepertimana notis dikeluarkan bermula 24 Mac lalu.

Hasnizam didakwa di bawah Seksyen 21 (5) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 57 Akta sama.

Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan penguatkuasa KPDNKK Kubang Pasu melakukan pemeriksaan di sebuah premis restoran kira-kira jam 6.15 petang, pada 24 Mac lepas.

Melalui pemeriksaan, satu notis untuk mendapatkan maklumat dalam tempoh ditetapkan ke atas minuman Teh O ais, kopi O ais, teh ais dan kopi ais berserta dokumen iringan diserahkan kepada pemilik restoran.

Bagaimanapun, pemilik mengaku notis diterima tidak diserahkan kembali ke pejabat KPDNKK Kubang Pasu disebabkan hilang dan juga tidak membuat rayuan penangguhan.

Dalam pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain, lelaki terbabit Hasnizam Hussain, 40, mengaku bersalah.

Dalam prosiding mahkamah itu, beliau menyoal kegagalan Haznizam memberi maklum balas notis berkenaan dalam tempoh tujuh hari bekerja seperti diarahkan dalam notis.

“Jangan ambil mudah terhadap undang-undang dan tidak ulangi kesalahan. Sekarang pengguna sedar hak mereka, jikalau didapati harga mahal, mereka akan buat aduan,” kata Zanol.

Lelaki itu, bagaimanapun berjanji tidak akan mengulangi kesalahan dilakukan dan memohon rayuan denda dikurangkan dan meminta tempoh dua minggu untuk menjelaskannya.

Zanol Rashid menetapkan tarikh 29 November 2016 untuk keputusan denda dan hukuman kes pendakwaan anti pencatutan itu.

Sumber: Sinar Harian