Pemuda PAS Setuju Dengan Kenyataan Menteri Kewangan


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersetuju dengan kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkenaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berikutan perkembangan politik di Amerika Syarikat.

Timbalan Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Malaysia berkemampuan untuk bersaing di pasaran global serta mempunyai perjanjian seperti itu dengan banyak negara lain walaupun AS dibawah Presiden baharu, Donald Trumph menarik diri daripada perjanjian itu.

“Pentadbiran Presiden AS, Barrack Obama menggantung TPPA sehingga selesai penyerahan kuasa kepada Donald Trump pada 20 Januari tahun depan untuk diputuskan oleh Trump yang diketahui sikap dan polisi beliau terhadap perjanjian perdagangan bebas.

“Sikap dan polisi Trump begitu kritikal terhadap TPPA dan usaha beliau menentang sebarang perjanjian perdagangan bebas jelas kelihatan semasa kempen pilihan raya Presiden AS baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Muhammad Khalil, Malaysia dibawah kerajaan sedia ada mempunyai banyak negara rakan dagang yang dimenterai perjanjian perdagangan bebas antaranya China, Kesatuan Eropah, Jepun, Korea, Australia dan banyak negara lagi.

Katanya, masih banyak negara yang belum menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia namun telah lama berdagang seperti Russia, Mexico, Kanada, Afrika Selatan, Brazil dan negara-negara lain.

Justeru, katanya, DPPM berharap kerajaan Malaysia membatalkan penyertaan Malaysia di dalam TPPA. –Kedahnews.com