Pendapatan KWSP Meningkat Hampir 30 Peratus, RM12.32 Bilion


KUALA LUMPUR - Pendapatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat sebanyak 29.21 peratus kepada RM12.32 bilion dalam suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept, 2016, daripada RM9.54 bilion yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun lepas.

Aset pelaburan meningkat 4.09 peratus atau RM27.98 bilion kepada RM712.50 bilion daripada RM684.52 bilion yang dicatatkan pada 31 Disember 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata prestasi bertambah baik dalam suku ketiga 2016 itu disebabkan oleh asas rendah.

"Pelaburan luar negara kami pada suku tahun itu terus meningkatkan pulangan manakala rugi terjejas pula mencatatkan penyusutan yang ketara dari tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Suku-3 2016, rugi terjejas meningkat kepada RM349.59 juta, daripada RM1.02 bilion yang dicatatkan dalam suku tahun yang sama tahun lepas.

Ekuiti, yang merangkumi 41.24 peratus daripada pelaburan aset menyumbang RM7.02 bilion, mewakili 56.96 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan untuk suku ini.

Ini adalah peningkatan sebanyak 49.02 peratus daripada RM4.71 bilion yang dicatatkan dalam suku yang sama pada 2015.

Peningkatan pendapatan pelaburan dalam suku ketiga tahun ini disumbang oleh pemulihan harga ekuiti, terutamanya di pasaran Asia Utara dan negara membangun, yang memberi peluang kepada KWSP untuk merealisasikan pendapatan perniagaan lebih tinggi, kata Shahril.

Pada Sept 2016, 49.76 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap.

Dalam suku ketiga, pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap mencatatkan pulangan sebanyak RM4.52 bilion, iaitu 36.65 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahun.

Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) meningkat 7.21 peratus kepada RM1.95 bilion daripada RM1.82 bilion pada Suku-3 2015, manakala bon dan pinjaman menjana pulangan pelaburan sebanyak RM2.56 bilion, berbanding RM2.54 bilion pada suku-3 2015.

Pada masa hadapan, Shahril berkata kos KWSP bagi pelaburan luar negara akan meningkat memandangkan pelaburan dilakukan pada kadar tukaran asing yang lebih tinggi.

"Persekitaran kadar faedah yang rendah juga dijangka menurunkan pulangan daripada pelaburan pendapatan tetap kerana bon yang matang akan dilaburkan semula pada kaedah rendah.

"Memandangkan penyusutan pendapatan pelaburan pada setengah tahun pertama serta ketidaktentuan yang dijangka kekal sehingga hujung tahun ini, keadaan akan menjadi lebih mencabar bagi KWSP untuk mengekalkan prestasi pulangan tahun-tahun lepas," katanya. - BERNAMA