Pengundi Mahu Lihat Masa Depan Mereka - Salleh


KUALA LUMPUR - Pengundi mahu melihat rancangan dan dasar serta bagaimana masa depan mereka terjamin dan bertambah baik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. 

Salleh berkata, kehadiran sebilangan besar orang ramai dalam perhimpunan tidak semestinya dapat menyelesaikan masalah.

"Dalam mana-mana pilihan raya di dunia, isu-isu keperluan asas yang diutamakan dan inilah yang kerajaan hendak memberi tumpuan.

"Kita tidak harus "menang sorak kampung tergadai," kata Salleh menerusi catatan terbaharu dalam blog beliau pada Ahad malam.

Salleh berkata, pembangkang sentiasa menunjukkan mengenai keupayaanya menarik sebilangan besar penyertaan orang ramai yang boleh digerakkan dan media pembangkang sentiasa menonjolkan kehadiran orang ramai pada acara-acara tertentu.

"Jika jumlah kehadiran orang ramai menentukan pihak yang menang dalam pilihan raya, maka pembangkang sepatutnya memenangi pilihan raya pada 1999," kata Salleh.

Beliau berkata, walaupun acara yang diadakan oleh pembangkang sentiasa dapat menarik orang ramai, rakyat telah banyak kali menyaksikan bahawa semasa pilihan raya kecil, kehadiran penyokong pembangkang adalah ramai namun mereka masih kalah dalam pilihan raya itu. - Bernama