Penyeludup Minyak Masak Henti Operasi Lepas Malaysia Tingkat Penguatkuasaan Di Sempadan


ALOR SETAR - Penyeludup minyak masak keluaran Malaysia dipercayai terpaksa menghentikan operasi haram mereka setelah pihak berkuasa memperketatkan lagi penguatkuasaan membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan.

Kedahnews.com yang melakukan tinjauan di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam mendapati pihak berkuasa khususnya Jabatan Kastam telah bertindak lebih teliti terhadap aktiviti keluar masuk kenderaan di sana.

Selain itu, pihak Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) turut memainkan peranan penting untuk menahan setiap kenderaan yang melalui pintu sempadan berkenaan, selain memeriksa kenderaan yang mencurigakan.

Hasil tinjauan kami di pekan Danok, Thailand, juga mendapati premis-premis perniagaan runcit telah lima hari kehabisan stok bekalan minyak masak, dipercayai hasil dari peningkatan penguatkuasaan pihak berkuasa di sempadan Bukit Kayu Hitam.

Minyak masak keluaran Malaysia menjadi rebutan bagi para peniaga di sempadan Thai ekoran mampu mengaut keuntungan yang lebih berbanding minyak masak keluaran negara gajah putih itu.

Minyak masak 1kg misalnya dijual pada harga subsidi RM2.50 sepaket di Malaysia dan dijual pada harga RM4.50 hingga RM4.80 sepaket di daerah sempadan Thai tersebut.

Menjadi kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia tentang status bekalan minyak masak 1kg yang semakin sukar diperoleh di pasaran tempatan ekoran kekurangan bekalan sejak akhir-akhir ini dipercayai akibat "permainan" para peniaga untuk mengambil kesempatan keuntungan yang lebih atas rasionalisasi harga yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini memberi arahan kepada pihak berkuasa untuk memperketatkan kawalan dan pemantauan di sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan, khususnya minyak masak. - Kedahnews.com