Perlukah Bertolak Ansur Dengan Golongan Homoseksual Di Malaysia?


KEGIATAN homoseksual bukan gejala sosial baharu yang diamalkan manusia. Kegiatan tidak bermoral ini dilakukan masyarakat zaman silam. Beribu tahun dahulu, kegiatan homoseksual adalah aktiviti kaum Luth di Sodom.

Kegiatan tidak bermoral ini dinyatakan Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-A’raf: ayat 80-81 yang bermaksud:
“Dan (Kami juga telah mengutus) Lut (kepada kaumnya) (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan fahsiah (mungkar itu) yang belum pernah dikerjakan oleh seseorang pun (di dunia ini) sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”
Hubungan jenis sesama jantina bukan sahaja dosa besar malah termasuk dalam perbuatan yang dilaknat Allah SWT. Perbuatan itu bukan sahaja diseksa di hari akhirat bahkan akan ditimpakan Allah SWT bala di dunia ini.

Bencana diturunkan Allah kepada penduduk Sodom dijelaskan dalam surah al-A’raf: ayat 83 yang bermaksud:
“Dan Kami turun­kan kepada mereka (kaum Luth) hujan (batu), maka perhatikan bagaimana kesudahan orang yang berdosa itu.”
Selain peristiwa di Sodom itu, terdapat juga peristiwa kemungkaran penduduk di bandar-bandar di bawah pemerintahan Rom seperti Pompeii, Stabiae dan Herulaneum pada era hampir abad pertama Masihi.

Mengikut ahli sejarah, penduduk di bandar ini melakukan pelbagai kegiatan maksiat seperti homoseksual, pelacuran, seks bebas yang mana kegiatan seks dilakukan secara terbuka.

Bala dan kemurkaan Allah SWT terhadap penduduk bandar itu diperlihatkan kepada manusia apabila Gunung Vesuvius di Itali meletup sehinggakan bandar-bandar dan beribu-ribu orang penduduk di situ terkambus.

Pompeii terkambus sedalam 3.05 meter manakala Herculaneum terkubur sedalam 23 meter. Sebelum gunung berapi tersebut meletus, ia mengeluarkan bunyi seperti guruh yang dahsyat dan menggerunkan.

Ahli-ahli arkeologi yang menggali bandar-bandar tersebut mendapati mayat-mayat yang terkambus itu diselaputi lumpur yang mana bentuk tubuh badan mereka masih kekal. Gambar-gambar lukisan yang digantung di dalam bangunan-bangunan yang tenggelam itu menunjukkan corak kehidupan masyarakat ketika itu.

Di antaranya terdapat gambar lelaki melakukan hubung­an seks sesama jantina dan pelbagai gambar lucah berkaitan hubungan seks di khalayak ramai termasuk bersama haiwan. Berdasarkan kepada corak kehidupan yang dipenuhi dengan hawa nafsu yang melampaui batas maka kemurkaan Allah terhadap mereka adalah tidak terbatas.

Homoseksual dianggap sebagai kegiatan yang dilaknat Allah di dalam al-Quran dan juga Old Testament. Islam secara tegas menentang kegiatan tersebut kerana bertentangan dengan fitrah manusia. Malangnya, amalan ini masih dianggap sebagai fitrah manusia bagi kebanyakan gereja Protestan di Barat.

Konsep kehidupan sekularisme yang dianuti oleh majoriti masyarakat Barat lebih memen­tingkan materialisme daripada kerohanian. Konsep kehidupan demikian menyebabkan keba­nyakan masyarakat Barat berada dalam keadaan kehausan kerohanian.

Hasilnya, corak kehidup­an mereka sama dengan budaya dan tradisi masyarakat Pompeii, Stabiae dan Herculaneum yang hidup 2,000 tahun lalu.

Kegiatan homoseksual seper­ti berlaku di Barat begitu pantas menular dalam kalangan masyarakat Islam masa kini. Ini menunjukkan struktur masyarakat Islam semakin hari semakin berubah mengikut arus globalisasi.

Dalam era globalisasi, setiap kegiatan di Barat sama ada baik atau buruk mudah masuk ke dalam negara Islam. Ini disebabkan perkembangan teknologi komunikasi yang canggih memberi peluang sepenuhnya kepada Barat mengeksport budaya, ideologi dan tradisi kehidupan mereka ke negara lain terutamanya negara Islam.

Jika di Barat, lesbian dan gay dilantik menjadi biskop dan me­ngendalikan urusan gereja dan keagamaan, maka lesbian dan gay yang beragama Islam juga ingin membentuk masyarakat gay dan lesbian yang mempunyai institusi keagamaan sendiri.

Perkara ini berlaku di Cape Town, Afrika Selatan di mana gay yang beragama Islam membina masjid dan me­laksanakan urusan keagamaan untuk kumpulan mereka seperti berimamkan gay ketika solat Jumaat, menguruskan perkahwinan sesama jantina serta menggalakkan umat Islam mengamalkan kehidupan homoseksual.

Persoalannya, adakah Allah akan menerima solat dan ibadah orang yang memilih corak kehidupan bertentangan dengan fitrah manusia yang tergolong dalam kalangan dilaknat Allah seperti mana berlaku pada umat Nabi Lut dan juga masyarakat Pompeii?

Perkara ini sepatutnya menjadi persoalan dan perbahasan dalam kalangan kumpulan homoseksual. Apakah ertinya melakukan pelbagai ibadah jika corak kehidupan itu tidak diterima oleh Allah?

Masyarakat Islam perlu menentang penularan pengaruh homoseksual ini kerana kecuai­an dalam mengatasinya boleh menyebabkan umat Islam menghadapi permasalahan kehausan kerohanian keterlaluan yang boleh memusnahkan struktur sosial masyarakat Islam.

Sikap terlalu berlembut sehingga sanggup menyokong kegiatan mungkar yang dilakukan oleh golongan ini adalah bertentangan dengan konsep pendidikan dan kasih sayang dalam Islam.

Perjuangan menentang hawa nafsu dan bisikan syaitan adalah jihad al-akhbar. Oleh itu, golong­an ini amat memerlukan bantuan umat Islam bagi membanteras bisikan syaitan yang sentiasa mendorong mereka melakukan kegiatan yang boleh memusnahkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

*PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM/Utusan