Permohonan PPBM Sertai Pakatan Harapan Diputus Pada 13 Dis - PAN


GEORGETOWN - Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan  Harapan dijangka diputuskan pada 13 Disember depan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat majlis presiden Pakatan  Harapan yang diadakan setiap bulan bagi membincangkan gerak kerja gabungan parti pembangkang itu.

"Saya yakin kami akan bermesyuarat tentang hasrat (Pengerusi PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk PPBM diterima dalam keluarga Pakatan  Harapan.

"Saya yakin dan percaya bahawa tidak ada masalah untuk menerima PPBM menjadi satu lagi parti (gabungan) dalam Pakatan Harapan menjadikan empat parti iaitu PAN, DAP, PKR dan Bersatu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pertama PAN Pulau Pinang di sini, semalam.

Beliau berkata Tun Dr Mahathir sendiri menyatakan bahawa PPBM tidak mahu menyertai Pakatan  Harapan sebagai 'pakatan plus-plus' sebaliknya mahu diterima sebagai satu keluarga dalam pakatan.

Pada Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam 12 November lepas Dr Mahathir dilaporkan berkata, pihaknya akan menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum menyertai pakatan tersebut termasuk menjadikan pakatan itu sebagai satu entiti.

Sementara itu pada konvensyen itu juga Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata walaupun secara dasarnya PPBM bersetuju untuk menyertai pakatan pembangkang itu, tetapi kepimpinan kanan parti serpihan Umno berkenaan memerlukan masa untuk berbincang lebih lanjut mengenai penyatuan itu. –Bernama