Pernah terbayang berjalan di atas air?
Anda kini boleh melakukannya menerusi hasil seni ciptaan terbaru artis kelahiran Bulgaria, Christo - laluan terapung menyeberang Tasik Iseo di Itali.
Hanya untuk beberapa minggu, ‘Jeti Terapung’ ini akan dipasang pada permukaan tasik yang terletak kira-kira 100 kilometer ke timur laut Milan.
Laluan sepanjang kira-kira 3 kilometer itu membenarkan pelawat berjalan dari bandar Sulzano di tanah besar ke pulau Monter Isola dan San Paolo, yang biasanya hanya boleh dijejaki dengan menaiki bot.
Kira-kira 220,000 kiub polietilena berketumpatan tinggi disambung dan dilabuhkan oleh penyelam untuk projek itu.
Kain kuning berkilau sepanjang 100,000 meter persegi turut digunakan untuk menutup laluan berkenaan.
Jeti selebar kira-kira 16 meter dan setinggi 35.6 sentimeter itu, akan ‘bergerak mengikut ombak’ ketika pelawat berjalan di atasnya.
Ia sudah mula dibuka kepada orang ramai sejak 18 Jun lalu dan akan berakhir pada 3 Julai.
Hasil kerja oleh Christo, 81, dan isterinya, Jeanne-Claude, yang meninggal dunia pada 2009, pernah dipamerkan di beberapa bandar seperti ‘The Gates’ di New York, di mana dia menggantungkan 7,503 panel fabrik safron di Central Park.
Menurut laman sesawang projek terbabit, Christo dan isterinya mendapat idea ‘Jeti Terapung’ itu sejak 1970 dan artis itu memilih Tasik Iseo sebagai lokasi pada 2014.
Pelawat boleh melalui ‘Jeti Terapung’ itu secara percuma dan sukarelawan akan berada di situ untuk membantu jika ada pelawat yang terjatuh ke dalam air. - Agensi