Ustaz Ismail Kamus antara pengamal perubatan Islam terkenal di negara kita. |
PERTEMBUNGAN di antara perubatan Islam dan kontemporari hangat diperbincangkan. Timbul perdebatan antara kedua-dua pihak yang mengamalkan jenis perubatan itu dan saling menegakkan hujah sehinggakan titik temu yang mengharmonikannya.
Perubatan Islam seringkali dikaitkan dengan perubatan Nabi (tibb nabawi) banyak diamalkan dalam kalangan masyarakat yang mempunyai kesedaran tinggi untuk mengamalkan dan menghidupkan Islam serta Sunnah Rasulullah SAW manakala perubatan kontemporari berkisar dalam kalangan individu yang berlatarbelakangkan pendidikan perubatan dan berikrar dengan ‘hippocratic oath’ untuk memberikan perkhidmatan dan rawatan terbaik kepada pesakit.
Persoalannya, apakah pengamal perubatan tibb nabawi pada masa kini menepati konsep perubatan Islam sebenar dan perubatan kontemporari tidak selari dengan perubatan Islam?
Perubatan kontemporari adalah kaedah yang berasaskan pembuktian klinikal dan melalui pelbagai fasa uji kaji. Ketelitiannya bertujuan mencapai peluang kesembuhan yang optimum dan mengurangkan serta mengelakkan kemudaratan.
Secara tidak langsung, perubatan ini menepati tujuan maqasid syariah yang mengutamakan manfaat dan mengelakkan kemudaratan.
Banyak perbahasan mengenai perubatan tibb nabawi yang diketengahkan tetapi masyarakat memberi salah persepsi terhadap perubatan Islam. Kitab Zaadul Maad dikarang oleh Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah telah memperkenalkan perubatan Nabi.
Wujud salah pemahaman masyarakat yang mengehadkan perubatan tibb nabawi hanyalah sekitar yang dibincangkan dalam kitab tersebut dan sekiranya tidak dibincangkan, maka tidak dikategorikan sebagai perubatan Islam.
Nabi SAW bersabda:
“Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit iaitu tua”. (riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah).
Dalam mengubati penyakit, setiap individu seharusnya mencari ubat yang paling berkesan. Malahan, Nabi SAW tidak mengehadkan bentuk perubatan dan ubat, tetapi menyebutnya secara umum.
Perlu disedari bahawa ilmuwan Islam terdahulu terakam dalam sejarah yang menyumbang kepada dunia sains perubatan. Tokoh ini termasuklah Abu Bakar ar-Razi, Hunayn Ibnu Ishaq, al-Biruni, Ibnu Sina, az-Zahrawi.
Karya mereka juga dijadikan rujukan oleh pengamal perubatan dari Barat. Justeru, jelaslah perubatan Islam tidak hanya tertumpu kepada perubatan Nabi sepertimana yang didakwa sesetengah masyarakat, malah turut merangkumi perubatan yang kompleks dan terkini.
Selagi mana sesuatu perubatan itu memberi kebaikan dan kesihatan serta tiada unsur mensyirikkan Allah, maka ia selari dengan perubatan Islam. Istilah perubatan Islam juga tidak hanya berputar dengan rawatan bekam, jampi (ruqyah), madu atau bahan-bahan lain yang disebutkan oleh Nabi SAW semata-mata.
Malah, apa sahaja ubat-ubatan yang mengikut disiplin ilmu dan kaedah perubatan yang betul, maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh syarak.
Apa jua konsep perubatan sama ada kontemporari, Cina, India, atau Melayu yang berasaskan kaedah yang benar, tidak menggunakan bahan haram, tiada unsur syirik dan khurafat, maka ia adalah perubatan yang diizinkan dalam Islam.
Sering kali menjadi isu dalam rawatan Islam yang diperjuangkan oleh sesetengah individu pada hari ini, tidak melambangkan konsep asas perubatan Islam. Kadangkala, mereka memanipulasi agama untuk keuntungan dan kepentingan peribadi semata-mata. Perkara sebegini akan mencacatkan dan memburukkan imej Islam.
Oleh itu, konsep dan pendekatan kedua-dua perubatan ini perlu dikaji secara terperinci seterusnya diintegrasikan supaya memberi impak lebih besar kepada kesihatan masyarakat.
Titik persefahaman ini perlu jelas agar perubatan Islam juga dikenali sebagai satu langkah pencegahan kesihatan yang mendidik umat untuk memelihara kesihatan diri, keluarga dan masyarakat.
*NORKUMALA AWANG, PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)/Utusan