JITRA - Bangkai khinzir yang terdapat di atas bahu jejantas Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Dewan Wawasan dekat sini tidak mempunyai kaitan dengan tindakan kerap pihak polis mengadakan sekatan jalan raya di situ.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abdul Hadi Hassan berkata tugasan terbabit sudah lama tidak dilakukan malah aktiviti merakam had laju di situ juga tidak dapat dijalankan ekoran peralatan yang rosak.
"Polis menafikan kejadian itu disebabkan tugas-tugas penguatkuasaan yang dilakukan selama ini dan berkemungkinan bangkai itu terjatuh ketika ia hendak dibawa pihak lain ke lokasi tertentu," katanya kepada Bernama.
Orang ramai diingatkan agar tidak mempercayai maklumat yang diviralkan dalam laman Facebook itu.
Laman `Saya Orang Jitra' semalam memaparkan beberapa keping gambar kepala khinzir dan longgokan bangkai haiwan itu di bahu jalan berkenaan yang kononnya dilakukan kerana penduduk sekitar merasa terhadap pihak polis yang sering membuat sekatan jalan raya di situ.
Gambar itu dipercayai diambil pagi semalam dan dimuat naik di laman tersebut. - Bernama