PRU-14: Dokumen Bukti Dana, Campur Tangan George Soros Terbongkar?


PETALING JAYA - Strategi Open Society Foundation (OSF) yang dibiayai jutawan George Soros untuk campur tangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 terbongkar apabila minit mesyuarat yang membincangkan perkara itu bocor.

Mesyuarat bertajuk "Program Malaysia - Portfolio Ringkasan Hasil Kajian Semula" pada Jun 2015 mendedahkan usaha OSF untuk menyokong masyarakat awam dan Orang Asli, belia, wanita dan warga luar bandar untuk pilihan raya yang bebas dan adil.

Ia dihadiri Presiden OSF, Christopher Stone dan Pengarah Penyelidikan Merdeka Center, Ibrahim Suffian.

Dokumen itu mendedahkan sokongan OSF khususnya usaha untuk menggembeling penyertaan golongan muda.

Ia turut memaklumkan mengenai peruntukan yang disalurkan kepada jaringan mereka di negara ini.

"Dana yang disediakan jelas menunjukkan kejayaan dalam usaha untuk campur tangan.

"Antara campur tangan terdahulu yang dirancang adalah hasil perbualan dengan pelbagai pihak di peringkat akar umbi yang menggambarkan keperluan rakyat."

Menurut dokumen itu, Malaysiakini dan Kini.tv adalah pihak yang mendapat pembiayaan Program Malaysia kononnya untuk membantu mewujudkan suasana pilihan raya yang bebas dan adil.

Dokumen itu juga memaklumkan cabaran yang dihadapi OSF, antaranya kesukaran mewujudkan jaringan, mendapatkan jurucakap dan kritikan media tempatan terhadap Soros.

"Tindakan media tempatan mencerca Soros menyebabkan kami terpaksa melaksanakan tugas dengan senyap dan mengurangkan pendedahan awam. Kakitangan hanya menghadiri majlis awam, bukan program tertutup."

Pembiaya lain yang turut bekerjasama dengan OSF adalah Asia Foundation dan Institut Antarabangsa Republikan yang dipengerusikan Senator Amerika Syarikat, John McCain.

Sumber: mStar