Ribuan Sanggup Berhimpit Untuk Sambut Pesta Voodoo


Setiap tahun, sebuah kampung di utara Haiti bertukar menjadi pusat berkumpulnya ribuan penganut agama Voodoo dari seluruh negara.

Ribuan penganut berhimpit selama berjam-jam di dalam bas dan sebilangan lagi menaiki kenderaan buruk menuju ke kampung Plaine-du-Nord bagi menyambut festival itu.

Sampai di kampung itu, penganut mandi di kolam lumpur yang dianggap suci, menyalakan lilin dan melakukan upacara keagamaan.

Voodoo mula berkembang pada kurun ke-17 dalam kalangan hamba dari Afrika dan digabungkan dengan elemen kepercayaan Gereja Katolik yang dipaksa diterima oleh penjajah Perancis.


Di Plaine-du-Nord, penduduk menawarkan korban kepada gereja St James yang dikenali sebagai Ogoun Feraille dan dianggap suci oleh penganut Voodoo.

Mereka kemudian berjalan kaki selama tiga jam ke puncak sebuah gunung, lokasi terletaknya sebuah kubu kurun ke-19.


Sambutan di Plaine-du-Nord pada 23 hingga 24 Julai lalu itu adalah antara dua perayaan penting bagi penganut agama Voodoo di Haiti.

Satu lagi sambutan berlangsung di air terjun Saut d’Eau di tengah Haiti pada bulan yang sama.


Sepanjang festival selama tiga hari itu, penganut mandi di air terjun berkenaan sambil menggosok badan mereka dengan daun yang berbau wangi dan sabun.

Penganut ini percaya festival itu dapat membantu mengubah kehidupan mereka, tempat kemiskinan adalah perkara biasa di Haiti.


Sebilangan penganut membuat pelbagai permintaan seperti memenangi tiket loteri atau menyembuhkan penyakit.

Seorang lelaki dilihat memegang satu senarai permintaan termasuk sebuah kereta dan pekerjaan.

Lebih separuh penduduk di Haiti hidup dengan pendapatan kurang AS$2 (RM8) sehari tetapi keadaan bertambah sukar pada tahun ini.


Kenaikan nilai dolar Amerika Syarikat menyebabkan kadar inflasi bertambah buruk sekali gus mengakibatkan harga makanan asas yang sudah sedia mahal bertambah mahal.

Haiti juga berdepan kemelut politik dan masih gagal melantik presiden baru selepas pilihan raya tahun lalu diisytiharkan batal kerana berlaku penipuan. - Agensi