Rumahnya Di Kg Pulau Nyior Dipenuhi Koleksi Barang Lama

JITRA - Berkunjung ke rumah seorang petani milik Badrulzaman Harun, 52, di Kampung Pulau Nyior, di sini pasti terpegun dengan koleksi barangan lama yang dikumpulkannya sejak zaman persekolahan sekitar 1980-an lagi.

Tanpa dihiasi dengan perabot mahal dan berjenama, tetapi barangan lamanya itu yang berada di setiap sudut rumahnya sudah cukup untuk menarik perhatian pengunjung  kerana mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Badrulzman berkata, di sekeliling rumahnya dihiasi dengan pelbagai barangan lama yang dahulunya tidak bernilai tetapi kini sudah mempunyai nilai tersendiri.

"Sejak dulu lagi saya suka kumpul barangan lama kerana yakin sampai masanya akan jadi buruan dan perhatian terutama kepada peminat pengumpul barang-barang lama.

"Setiap barangan lama di dunia ini pasti ada nilainya tetapi kita mesti pandai menjaganya walaupun hanya sekeping logam mahupun kaca,” katanya.

Menurutnya, terdapat banyak koleksi barangan lama menghiasi halaman dalaman dan luaran di rumahnya.


"Antara yang paling menarik perhatian ialah pengumpulan mata wang kertas dan syiling yang sukar diperoleh pada zaman sekarang ini.

“Saya mempunyai beratus wang syiling yang bernilai sejak dikeluarkan pada 1801 sehingga sekarang. Paling bernilai lagi ialah syiling bernilai setengah sen yang dibeli dengan harga RM120 serta suku sen yang dikeluar pada 1899 dan dibeli dengan harga RM150.

“Bagi menjaganya dengan baik dan tidak terbiar saya letakkan di dalam kerangka kayu yang ditutup dengan kaca supaya menjadi lebih menarik lagi. Simpanan secara itu dapat mengatasi masalah syiling itu akan tercicir dan boleh menjadi dekorasi dalam rumah,” katanya.

Tembaga warisan nenek moyang

Tambahnya, walaupun sudah mempunyai beratus koleksi syiling tetapi dia masih mencari lagi wang berkenaan terutamanya di zaman kerajaan Negeri-Negeri Selat yang semakin pupus pada hari ini dan mempunyai nilai sangat tinggi.


"Selain dari mata wang kertas dan syiling, barangan sukatan sistem lama yang diamalkan oleh nenek moyang masih lagi disimpan.

"Oleh itu setiap pengunjung yang melawat penjuru rumah saya akan dapat melihat alat sukatan seperti gantang, cupak, kepoi dan kai yang digunakan oleh masyarakat lama terutamanya dalam jual beli hasil padi," katanya.

Katanya, barangan tembaga yang menjadi warisan oleh nenek moyangnya sejak lebih 100 tahun juga turut menjadi koleksi simpanan Barulzaman bagi memenuhi dekorasi di dalam rumah.

"Saya merupakan generasi ketiga menjaga barangan tembaga itu yang mewarisinya dari nenek moyang.

"Barangan itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana dapat mengenangkan kembali nostalgia salasilah keluarga kami yang merupakan anak jati di Jitra ini. Semua barangan seperti ini perlu dijaga dengan baik supaya dapat pula diwarisi oleh anak cucu saya nanti,” katanya.

Kumpul produk Coca Cola

Tambahnya, sebagai seorang pencinta barangan antik tidak seharusnya hanya memburu barangan yang bernilai sahaja. Barangan yang diguna seharian juga mampu disimpan untuk menjadi kenangan apatah lagi sudah ditelan zaman.


“Ini terbukti apabila koleksi barangan dari produk Coca Cola yang dibuang sebelum ini jika dikumpulkan mampu menarik perhatian rakan-rakan saya yang mengunjungi teratak ini. Pengeluar minuman ringan  itu sudah menghasilkan pelbagai  bentuk  botol dan produk sampingan sejak dahulu lagi.

‘Saya ambil kesempatan itu untuk mengumpul dan tidak menyangka segala koleksi itu juga telah menarik perhatian rakan-rakan yang melihatnya , malah ada turut menawarkan untuk membeli barangan itu,” kata bapa kepada empat anak itu.

Pengalaman beliau dalam mengumpul barangan antik itu telah membuktikan bahawa sesuatu yang barangan terbuang tidak semestinya dianggap sampah kerana suatu hari nanti barangan itu mempunyai nilainya yang tersendiri.

“Barangan antik yang dikumpulkan ini bukan sahaja memberi kepuasan tetapi juga mampu memberi terapi kepada saya yang sibuk dengan aktiviti pertanian. Sehingga hari ini saya masih lagi mencari dan mengumpul selagi barangan itu mempunyai nilai pada suatu hari nanti,” katanya.

Sumber: Sinar Harian