RUU 355: DAP Patut Tinggalkan Kerajaan Selangor


KUALA LUMPUR – DAP perlu keluar daripada pentadbiran kerajaan Selangor jika parti itu benar-benar membantah tindakan PAS membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di Dewan Rakyat.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, DAP tidak sepatutnya menyalahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti Gerakan disebabkan tindakan PAS kerana DAP merupakan sekutu PAS dalam kerajaan Selangor.

“Untuk rekod, DAP masih bersama PAS dalam kerajaan Selangor waktu ini. Kedua-dua wakil DAP dan PAS masih duduk bersama sebagai Exco di Selangor.

“Daripada menyalahkan pihak lain disebabkan tindakan PAS, DAP sepatutnya mengambil tanggunggjawab kerana masih bekerjasama dengan PAS,” katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Justeru, Keng Liang mempersoalkan sama ada DAP yang menghentam Gerakan kerana pembentangan rang undang-undang oleh PAS akan `cakap serupa bikin’ dengan tidak lagi berada dalam kerajaan Selangor.

“Adakah wakil DAP akan meletak jawatan yang lumayan dalam kerajaan Selangor? Saya berharap Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) akan menerajui dalam apa yang dia ajar kepada orang lain,” katanya.

DAP semalam menyalahkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa tidak membantah pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di Dewan Rakyat.

Parti sekular itu menganggap rang undang-undang yang dibentangkan oleh PAS itu sebagai usaha permulaan PAS untuk memperkenalkan undang-undang hudud yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

Usaha PAS itu turut ditentang hebat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) yang menyifatkan rang undang-undang dibentangkan oleh PAS itu menimbulkan kebimbangan bukan Islam. – Kedahnews.com