Sarang Dadah Di Sedim Digempur, 12 "Kantoi" Ketika Lepas Gian

Antara yang ditahan di sebuah rumah usang dalam Ops Sedim
KULIM - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah ini berjaya menangkap seramai 12 penagih dadah ketika serbuan sempena Ops Sedim, baru-baru ini.

Pegawainya, Sabarinah Aliuddin berkata, operasi disertai 13 anggota itu dilakukan di kawasan kampung sekitar Sedim bermula jam 10.45 malam, atas aduan orang awam.

“Ketika operasi dijalankan, kita berjaya masuk ke dalam sebuah rumah usang tidak berkunci, yang dipercayai digunakan sebagai sarang penagihan dadah sejak setahun lalu.

“Kita dapati ada enam lelaki berusia antara 19 hingga 34 tahun sedang leka melepaskan gian dan tidak sempat melarikan diri. Selain itu, sebuah bilik turut dipenuhi dengan alatan penagihan, bagaimanapun selepas pemeriksaan dilakukan, tiada sebarang dadah dijumpai.

“Kita percaya mereka melakukan aktiviti penagihan dengan mendapatkan bekalan dadah dari luar dengan cara berkongsi,” katanya.

Tambah Sabarinah, tiga orang lagi yang dipercayai rakan mereka, turut ditangkap apabila datang ke rumah tersebut untuk melakukan aktiviti sama.

“Kebetulan tiga rakan mereka datang mengakibatkan berlaku sedikit pergelutan,  tetapi kita berjaya menahan mereka untuk tindakan lanjut, manakala tiga lagi ditahan di kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya lagi, ujian saringan air kencing turut mendapati sembilan daripada mereka positif dadah jenis syabu.

Sumber: Sinar Harian