Sarimah Ibrahim Perjelas Mengapa "Hilang" Dari Dunia Hiburan Tanahair


Pengacara Sarimah Ibrahim menjelaskan kehilangannya daripada dunia seni selepas berkahwin dengan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 44, pada April tahun lalu kerana memberi fokus kepada kehidupan berumah tangga.

Sarimah, 37, berkata, walaupun suaminya tidak pernah menghalang dia untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni namun itu adalah pilihannya.

"Suami saya sentiasa menggalakkan saya meneruskan karier seni tetapi itu pilihan saya kerana ingin memberi fokus kepada rumah tangga dan berada disamping suami.

"Saya sebenarnya tidak menghilang pun masih ada... tetapi saya cuma kurangkan sahaja aktiviti kerana keluarga adalah keutamaan saya sekarang," katanya.

Bagaimanapun kata Sarimah, dia sudah kembali bersedia untuk merancakkan karier seninya bermula tahun hadapan malah sudah merangka pelbagai perancangan.

"Rindu sebenarnya untuk kembali beraksi sebagai pengacara dan keizinan dan dorongan daripada suami membuatkan dia bertambah yakin.

"Alhamdulillah saya sudah ada projek khas untuk kemunculan semula dan apa yang boleh saya dedahkan ia adalah program hiburan untuk Media Prima," ujarnya.

Dalam pada itu Sarimah yang bakal bertindak sebagai pengacara bersama Anugerah Skrin 2016 (ASK2016) pada 18 November ini mengakui teruja dengan tugasnya itu.

Kata Sarimah, dia berharap penampilannya itu nanti dapat mengubat kerinduan peminat terhadapnya dan ia sebagai permulaan kepada kemunculan semula dalam industri.

"Kemunculan saya itu ada kena-mengena dengan program yang bakal saya buat bersama Media Prima. Kiranya ini sebagai permulaan.

"Apa pun saya teruja sangat dan bimbang akan lupa diri nanti kerana sudah lama tidak muncul di pentas," katanya.

Sumber: mStar