Putra turun padang melawat seorang kanak-kanak yang memerlukan bantuan di Taman Nuri. |
ALOR SETAR - Sekali pandang wajah hitam manisnya, ditambah lengkap memakai persalinan baju Melayu, gaya A Sundralinggam, 30, tidak ubah seperti lelaki Melayu.
Komunikasinya bersama rakan-rakan baik yang tiada pelat Tamil, membuatkan ramai menganggap dia berbangsa Melayu.
Meskipun berbangsa India, usahawan kecil ini lebih mesra dipanggil Putra, berbanding nama sebenarnya.
Menurutnya, penggunaan nama Putra sejak berbelas tahun itu dirasakan lebih mendekatkan dirinya dengan rakan berlainan bangsa, khususnya Melayu.
“Semasa sekolah rendah, kawan-kawan sukar memanggil nama Sundra, sebaliknya mereka lebih gemar memanggil saya Putra ataupun kembar, kerana saya ada saudara kembar.
“Lama-kelamaan, nama Putra menjadi identiti diri sehingga dewasa, meskipun sudah berpindah ke Melaka mengikut bapa dan ibu tiri,” katanya.
Malah katanya, jiwa kemelayuan lebih menebal apabila dia dijaga jiran Melayu yang dikenali sebagai Kak Mariam ketika ibu bapanya bekerja.
Disebabkan itu katanya, dia terdedah dengan kehidupan, pemakanan dan budaya masyarakat Melayu kerana tinggal di kawasan kejiranan itu sehingga usia 16 tahun.
"Ditambah pula, Kak Mariam selalu masak beraneka makanan untuk kami, sehingga lidah saya ni lebih menggemari makanan tradisional Melayu," katanya.
Sering dianggap Melayu
Putra berkata, kefasihannya bercakap dalam bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin antara faktor dia memiliki ramai kawan baik berlainan bangsa.
Sebagai individu yang cintakan perpaduan. Putra berbangga mempunyai rakan-rakan pelbagai bangsa terutama Melayu.
Menurutnya, antara rakan baiknya ialah Khairil dan Amirul yang dikenali sejak 15 tahun lalu ketika di tingkatan tiga lagi.
“Walaupun berbeza bangsa dan agama, namun kami tidak pernah jadikan ia halangan untuk menjalinkan hubungan baik hingga kini,” katanya.
Kata Putra, memiliki rakan berlainan bangsa dan agama membuatkan mereka lebih memahami serta saling menghormati budaya masing-masing.
“Kami boleh terima kepercayaan masing-masing, misalnya saya tak makan ketika rakan Melayu berpuasa pada Ramadan kerana menghormati mereka, begitu juga mereka.
"Saya juga memiliki dan turut membeli baju Melayu yang sedondon dengan rakan-rakan untuk meraikan perayaan mereka," katanya.
Menurutnya, kelebihan itulah membentuk pergaulan dan perwatakannya, sekali gus menyebabkan dia sering disalah anggap sebagai orang Melayu.
“Selepas saya beritahu saya orang India, barulah mereka tahu, malah terkejut. Ada yang kata saya ni macam orang Melayu," katanya.
Terus tabur bakti
Kata Putra, pembabitannya dalam beberapa badan bukan kerajaan (NGO) memberinya peluang berkenalan dengan pelbagai kaum sekali gus menyelami masalah mereka.
Menurutnya, dia aktif sebagai sukarelawan sejak usia 17 tahun malah sanggup berhenti kerja sebagai pembantu perawatan kesihatan semata-mata kerana mahu membantu mereka yang memerlukan.
Katanya, dia terpanggil untuk menghulurkan bantuan kepada orang ramai melalui Pertubuhan Bantuan Kebajikan Masyarakat Miskin Kedah (PBKMMK).
"Saya gembira kerana dapat membantu masyarakat tanpa mengira bangsa melalui NGO tersebut," katanya.
Sumber: Sinar Harian