ALOR SETAR - Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Azam Abd Samat menegaskan bahawa kenyataan menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali ke "tikar sejadah" dan Islam merupakan satu tuntutan yang baik.
Adun Sungai Limau itu berkata, tidak mengira individu muslim itu sama ada bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Besar mahupun Exco Kerajaan Negeri, semua pihak dituntut supaya kembali ke jalan Allah sekiranya tersasar dari Islam dan hukum-hakam yang ditentukan Allah.
"Itu merupakan satu tuntutan kepada seluruh umat Islam tanpa mengira siapa sama ada dia bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Besar ataupun bekas Exco.
"Hinggakan manusia biasa pun kita memang dituntut supaya kembali kepada jalan Islam kalau kita tersasar dalam kehidupan kita," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com secara eksklusif di Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, di sini, hari ini.
Jelas beliau, saranan untuk kembali kepada Islam dan ketetapan Allah itu adalah demi mendapat redha Allah serta wajar diambil berat oleh setiap umat Islam.
"Siapa yang rasa dia telah tersasar.. untuk dia patah balik kepada landasan jalan yang betul yang Allah redhai.
"Seruan untuk kita kembali kepada Islam, maksudnya setiap apa yang kita buat itu perlu fikir tentang halal dan haram.. ini merupakan satu seruan yang diminta kepada semua," katanya lagi.
Mohd Azam diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz yang sekali lagi menggesa Tun Mahathir supaya kembali ke "tikar sejadah" dan tidak melakukan apa yang bekas Perdana Menteri itu cakapkan ketika berkuasa sebelum ini.
"Saya dah kata dari dulu Tun Mahathir ini lebih baik kembali ke tikar sejadah, pergi Mekah dan banyak belajar ilmu agama. Itu lebih baik daripada dia ulangi politik yang sama. Bagi saya dia hanya mengulang apa yang dia tak pernah buat masa dia ada kuasa,ia hanya menyusahkan.
"Komen yang diberikan oleh Tun Mahathir, hanya komen ikut suka…iyalah, orang tua…Saya ingat lagi, Tun Mahathir yang sekat royalti Kelantan, kini nak beri royalti. Dia juga penjarakan (Datuk Seri) Anwar, dia nak keluarkan Anwar. Masa dia ada kuasa dia tak buat, dia tak ada kuasa dia sebut macam-macam," kata Nik Abduh, semalam.
Walau bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS Kedah itu enggan mengulas mengenai kenyataan "orang kuat" Tun Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ke atas Nik Muhammad Abduh ekoran belum lagi meneliti kenyataan Khairuddin.
Semalam, Khairuddin melemparkan kata-kata kesat terhadap Nik Muhammad Abduh dan mendakwa kononnya beliau dan PAS melakukan banyak dosa kerana bersengkongkol dengan kerajaan, manakala Pakatan Harapan sedang melaksanakan kerja-kerja Tuhan.
"Nik Abduh banyak melakukan dosa kerana bersubahat dengan kerajaan dalam pelbagai kemungkaran serta salah laku. Nik Abduh dan PAS bersekongkol dengan jenayah. Mahathir dan dan kami semua dalam Pakatan Harapan sedang melawan kemungkaran.
"Jadi saya nak tanya Nik Mohamad Abduh siapa yang lebih melakukan dosa? Beliau dengan PAS yang lebih berdosa dari kami semua yang menentang kemungkaran seperti yang dituntut oleh ajaran agama islam yang tulen," katanya. - Kedahnews.com