Siasat Dakwaan Sindiket Jual Soalan SPM, Laporan Polis Dibuat


LUMUT – Kementerian Pendidikan meminta pihak berkuasa agar melakukan siasatan segera dan terperinci berhubung dakwaan sebuah akhbar berbahasa Cina terdapat sindiket yang menjual soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata laporan polis telah dibuat petang semalam oleh Lembaga Peperiksaan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan pihak berwajib.

Beliau berkata pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan jika laporannya terbukti palsu.

Semalam akhbar tersebut turut melapor sindiket itu didalang pegawai tinggi Kementerian Pendidikan.

“Ini suatu perkara serius yang didakwa kumpulan tertentu dan setakat ini kita belum mengenal pasti mereka yang terlibat dan saya meminta pihak polis buat siasatan penuh bagi membolehkan kita mendakwa mereka yang membuat tohmahan itu.

“Setakat ini memang tiada (sindiket seperti didakwa),” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam di Sitiawan semalam. – BERNAMA