Sultan Nazrin Puji Tun Abdullah Tingkat Integriti Negara


KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi penghormatan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atas usahanya meningkatkan integriti di negara ini.

Baginda bertitah antara perkara pertama yang dilakukan Abdullah apabila menjadi perdana menteri adalah menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 2004 dan berusaha menubuhkan satu badan yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

“Tun Abdullah juga berusaha mengukuhkan Badan Pencegah Rasuah yang kemudian dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika melancarkan buku berjudul ‘Being Abdullah Ahmad Badawi’ yang ditulis bekas Ketua Editor Kumpulan The Star, Datuk Wong Sulong, di sini semalam.

Menurut baginda, Abdullah menjadi perdana menteri dengan imej ‘Mr. Nice Guy’ dan ‘Mr. Clean’.

Sultan Nazrin bertitah usaha awal Abdullah seperti menubuhkan IIM dan Pelan Integriti Nasional diterima baik oleh pengundi dan orang ramai.

“Semua yang dilakukan Tun Abdullah didokumentasikan dengan baik oleh penulis, Datuk Wong Sulong, dan membawa pembaca menyelami kesukaran kepimpinan terutama dalam negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia,” titah baginda.

Baginda bertitah Abdullah berdepan pelbagai cabaran ketika mahu menerapkan integriti dalam sistem termasuk perkhidmatan awam dan agensi penguatkuasaan.

Sultan Nazrin bertitah dua perkara yang terus terlintas di fikiran ketika Abdullah menjadi perdana menteri adalah slogan ‘mengota apa yang dikata’ dan ‘pemimpin semua rakyat Malaysia’.

“Janji itu menerima sambutan baik daripada rakyat dan mereka menunjukkan sokongan menerusi kotak undi,” katanya.

Baginda bertitah Abdullah berjaya melakar kejayaan dan jujur apabila beliau tersilap membuat pertimbangan atau membuat kesilapan. – BERNAMA