ALOR SETAR - Meskipun musim banjir di Kedah sering berlaku sekitar bulan Oktober dan November pada setiap tahun, namun jangkaan pada tahun ini menunjukkan taburan hujan pada bulan ini adalah di paras normal.
"Untuk November ini dari segi taburan hujan, kita jangkakan normal sajalah.
"Cuma di Kedah ni pada bulan Oktober dan November ni memang selalunya taburan hujan agak tinggi," kata Pegawai di Pejabat Jabatan Meteorologi Kedah, Rosli Zakaria ketika dihubungi Kedahnews.com lewat petang semalam.
Namun begitu jelas Rosli, kejadian ribut petir dijangka kerap berlaku pada bulan November ini dan fenomena itu berkemungkinan untuk menyebabkan berlaku banjir kilat seperti yang sedang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.
"Bila berlaku ribut petir, sejam dua jam hujan turun dengan lebat, jadi kemungkinan banjir kilat akan berlaku.. itu biasalah," katanya.
Kata Rosli, selain hujan lebat yang berterusan, kejadian banjir kilat juga berlaku akibat faktor-faktor lain seperti kondisi perparitan dan saliran, fenomena air pasang surut dan sebagainya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa banjir besar yang pernah melanda negeri Kedah pada sekitar tahun 2010 adalah disebabkan jumlah taburan hujan diluar jangkaan pada paras tertinggi luar biasa.
"Misalnya kita jangka hanya sekitar 300mm sebulan, tapi tiba-tiba hujan turun pada paras taburan 1,000mm, maka itu mungkin berlaku banjir besar macam tu," jelasnya lagi.
Rosli turut menjelaskan bahawa amaran ribut petir kerap dikeluarkan sejak awal bulan ini khususnya di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan yang mengakibatkan berlaku banjir kilat di beberapa kawasan. -Kedahnews.com