Tahniah MB Kedah Lang Merah Juara Piala Malaysia


KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah diatas kejayaan Kedah merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, pihaknya turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan Kedah dan persatuan bola sepak negeri itu yang diketuai Ahmad Bashah.

“Sudah pasti segala pelaburan dan usaha Menteri Besar, kerajaan negeri, pegawai serta pemain memberi pulangan dan kepuasan kepada para penyokong dan rakyat Kedah. Bila ada usaha maka ada kejayaannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Bashah sebelum ini dikutuk dan dicerca sebilangan netizen yang majoritinya penyokong pembangkang kerana menolak tawaran tajaan RM30 juta daripada Syarikat D’Herbs Healthy Sdn. Bhd. (D’Herbs) kepada pasukan Kedah.

Beliau selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagaimanapun menjelaskan pihaknya mengambil keputusan itu demi memastikan hak rakyat negeri itu tidak tergadai hanya kerana bola sepak.

Ahmad Bashah pada waktu itu bagaimanapun memberi jaminan KFA akan memastikan dana pasukan mencukupi dan akan berusaha membuka serta mencari ruang penajaan baharu.

Natijahnya, Kedah muncul juara Piala Malaysia 2016 selepas menewaskan Selangor 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final di Stadium Shah Alam malam tadi. –Kedahnews.com